KPDN tumpas sindiket penyelewengan diesel subsidi di Temoh

TAPAH – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), berjaya menumpaskan aktiviti penyelewengan dan ketirisan minyak diesel bersubsidi di sebuah stesen minyak di Jalan Temoh di sini malam tadi dengan nilai sitaan berjumlah RM22,085.55.

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, serbuan di bawah Ops Tiris 3.0 itu dijalankan sekitar jam 9 malam oleh sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa cawangan Tapah.

Menurut beliau, operasi tersebut adalah hasil maklumat orang awam dan risikan yang dijalankan oleh pasukan perisikan cawangan Tapah selama seminggu di sekitar Jalan Temoh.

“Ketika serbuan dilakukan, kita menemukan dua nozel yang berada di tangki lori muatan satu tan.

“Melalui risikan dan pemantauan yang dijalankan, kita mendapati modus operandi sindiket ini adalah dengan membuat pengisian minyak diesel ke tangki asal lori yang diubah suai dengan sambungan paip terus ke tangki fiber yang disembunyikan di atas lori.

“Sekali pengisian dianggarkan antara 1,000 hingga 1,500 liter untuk aktiviti yang dijalankan di stesen minyak tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, siasatan awal mendapati, pemandu kenderaan akan menjual minyak diesel kepada pasaran gelap yang dipercayai melibatkan beberapa syarikat di sekitar Tapah pada harga lebih tinggi.

“Minyak diesel bersubsidi yang dibeli di stesen minyak dengan harga RM2.15 seliter boleh dijual di pasaran gelap pada harga antara RM3 hingga RM4 seliter mengikut harga pasaran minyak diesel industri.

“Semakan awal mendapati, syarikat kenderaan lori terlibat tidak mempunyai kebenaran atau permit yang sah daripada Pengawal Bekalan Malaysia untuk membeli minyak diesel dalam satu kuantiti yang banyak.

“Hasil pemeriksaan lanjut turut menemui kira-kira 1,137 liter cecair yang disyaki minyak diesel di dalam satu tangki fiber berkapasiti 3,000 liter yang berada di dalam lori

“Cecair yang disyaki minyak diesel serta kenderaan lori bersama beberapa peralatan lain seperti mesin pam, hos wayar dan lain-lain yang berkaitan turut disita untuk tindakan selanjutnya,” jelasnya.

Beliau berkata, pemandu lelaki warga tempatan berusia 40-an tahun telah ditahan untuk siasatan lanjut dan kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

“Stesen minyak yang disyaki terlibat juga akan disiasat di bawah peruntukan sedia ada, termasuklah syor pembatalan Lesen CSA Runcit barang kawalan minyak diesel jika didapati bersalah terlibat dalam penyelewengan ini,” ujarnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Pemandu lari tinggalkan lori berisi diesel bersubsidi

 

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI