IPOH – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah menyalurkan peruntukan berjumlah RM20 juta kepada Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), sekali gus menjadikannya pihak berkuasa tempatan (PBT) yang menerima peruntukan tertinggi di seluruh negara.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, peruntukan tersebut akan digunakan sepenuhnya bagi kerja penurapan semula jalan raya, khususnya melibatkan hampir 400 jalan di kawasan perumahan di sekitar Ipoh.
Menurutnya, kawasan tersebut meliputi lima Parlimen di bawah pentadbiran MBI iaitu Tambun, Gopeng, Ipoh Barat, Ipoh Timur dan Batu Gajah.
“Sasaran kita adalah bukan baik pulih (jalan) tapi penurapan semula hampir 400 jalan dalam kawasan perumahan seluruh Ipoh. Fokus kepada kawasan perumahan.
“Saya minta Datuk Bandar untuk pastikan apabila pelantikan kontraktor kena buat kos ‘benefit’ analisis. Siapa yang berikan tawaran paling menarik, kualiti kerja yang paling best, baru kita bagi dia kerja.
“Kerja tersebut dijangka akan mula dalam tempoh terdekat dan siap sepenuhnya menjelang Hari Raya Aidilfitri nanti.
“Saya yakin selepas itu kita akan lihat kebanyakan kawasan perumahan akan berwajah baru dengan usaha gigih oleh KPKT bersama dengan MBI,“ katanya ketika berucap selepas mengadakan lawatan kerja di Pasar Taman Canning di sini pada Selasa.
Beliau berkata, pelaksanaan projek tersebut bukan sahaja bertujuan meningkatkan keselesaan penduduk, malah memastikan setiap peruntukan kerajaan dimanfaatkan secara berkesan melalui pemilihan kontraktor yang berdaya saing serta berkualiti.
Tambahnya, kerjasama erat antara KPKT dan MBI diyakini mampu memberikan impak positif kepada pembangunan infrastruktur bandar Ipoh dan kesejahteraan penduduk setempat. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
89 projek perumahan swasta bernilai RM6.5b berjaya dipulihkan – KPKT


