KPM sedia pertimbang cadangan keluar keputusan SPM awal

TAIPING – Kementerian Pendidikan (KPM) bersedia mempertimbangkan cadangan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) supaya keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2023 dapat diumumkan lebih awal.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, pihaknya mengambil maklum cadangan supaya  keputusan SPM dikeluarkan dua hari sebelum cuti persekolahan bermula, iaitu 23 Mei ini.

Katanya, hal itu adakan dibawa ke meja perbincangan berkenaan termasuk melibatkan warga pendidik dan pihak berkepentingan sebelum sebarang keputusan dapat dicapai.

“Seperti yang saya kata, kerajaan ini merupakan kerajaan yang sudi mendengar.

“Dan apabila kita menerima pandangan-pandangan yang berbeza daripada semua sektor, maka pihak KPM akan mempertimbangkan kesemua pandangan tersebut.

“Beri kami sedikit masa sebelum satu keputusan atau kenyataan media berkaitan dengan isu ini dapat dibuat nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada program Lawatan Kerja Timbalan Menteri Pendidikan ke Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Maahad Al-Khair Lil Banat, di Kamunting, dekat sini, pada Jumaat.

Kah Woh sebelum itu diminta mengulas berkenaan rayuan NUTP agar KPM dapat mengeluarkan keputusan SPM 2023 pada tarikh yang lebih awal iaitu 23 Mei ini, berbanding tarikh asal 27 Mei.

Pada Khamis, Setiausaha Agung NUTP, Fouzi Singon dilaporkan berkata, ini kerana semua guru sudah membuat perancangan awal sempena cuti persekolahan yang bermula pada 25 Mei.

Jelasnya lagi, kebanyakan guru juga sudah berada di kampung halaman masing-masing di samping ada yang sudah merancang percutian bersama keluarga pada tarikh berkenaan.

Terdahulu, KPM mengumumkan keputusan SPM 2023 akan diumumkan pada 27 Mei dengan semua calon boleh memperolehnya daripada sekolah masing-masing bermula jam 10 pagi. -MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

31,411 SPM calon di Perak, tujuh duduki di hospital

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI