Krisis kepercayaan rakyat, ahli terhadap UMNO tidak pernah pulih

KUALA LUMPUR – Krisis kepercayaan rakyat dan sebahagian ahli terhadap UMNO tidak pernah pulih semenjak parti itu gagal mempertahankan tampuk pemerintahan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, krisis kepercayaan tersebut tercetus daripada ketidaktentuan politik yang membawa kepada perbalahan secara terbuka.

“Dalam perhimpunan yang lalu, kita telah berbahas panjang mengenai kerancuan atau ketidaktentuan politik pasca PRU15. Kita sedar, senario politik telah berubah dan bagaimana kita harus meladeni politik baharu ini. Namun, hakikatnya, sehingga kini kerancuan itu masih ada.

“Kerancuan yang membawa kepada perbalahan politik secara terbuka. Kerancuan yang mencemarkan wajah demokrasi kita. Kerancuan yang menyebabkan pelabur lari meninggalkan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian Ketika berucap di Perhimpunan Agung Wanita UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC), KL, hari ini.

Sesuai dengan tujuan utama Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024, maka Noraini menyeru semua anggota sayap parti itu menggunakan pentas perhimpunan kali ini sebagai platform untuk menamatkan krisis keyakinan rakyat.

“Kita perlu buat satu pembaharuan di persada politik negara, untuk mencipta sebuah kisah klasik untuk masa depan. Kisah sebuah parti yang kembali bangkit membina semula kekuatan,” ujarnya.

Sementara itu, Noraini mahu semangat dan gerak kerja yang membawa kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Dewa Undangan Negeri (DUN) Nenggiri perlu dibawa pada PRN Mahkota tidak lama lagi.

“Saya mohon kepada seluruh jentera dan perwakilan, teruslah istiqomah dalam perjuangan dan saya mahu semangat yang sama, kekuatan yang sama, kita bawa ke PRK Mahkota yang akan diadakan tidak lama lagi. Pastikan kerusi Mahkota ini kekal milik kita.

“Jangan sesekali kita lupa sejarah. Kita menang bergaya di PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar. Tetapi dalam PRU14, kita kehilangan Putrajaya. Justeru itu, saya mohon kepada seluruh jentera dan perwakilan, teruslah istiqomah dalam perjuangan,” tambahnya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI