KUDR jadi pemudah cara bagi pengurusan utiliti di Perak

IPOH – Penubuhan Koridor Utiliti Darul Ridzuan (KUDR), bakal menjadi pemudah cara kepada syarikat penyedia utiliti bagi melancarkan proses penyediaan infrastruktur seperti elektrik, air, gas, telekomunikasi dan sistem pembentungan secara terancang di negeri ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, inisiatif bersama Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) dan pelabur tempatan ini tidak melibatkan suntikan kewangan kerajaan negeri serta menjadi One Stop Agency (agensi sehenti) bagi pengurusan utiliti.

Menurutnya, penubuhan KUDR selaras dengan keputusan Mesyuarat Majlis Kerajaan (MMK) Negeri pada 5 Januari 2022 berdasarkan kajian terhadap kesesuaian dan kebolehlaksanaannya di Perak oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri.

“KUDR juga akan membolehkan pemasangan dan penyelenggaraan utiliti dilakukan secara terancang, cekap dan terkawal,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan KUDR di Casuarina@Meru, di sini, pada Khamis.

Hadir sama, ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Ketua Pegawai Eksekutif PKNPk, Datuk Redza Rafiq Abdul Razak.

Dalam perkembangan berkaitan, Saarani berkata, penubuhan KUDR adalah langkah proaktif bagi menangani isu dan cabaran seperti kompleksiti urusan permit korekgali, kesukaran pihak berkuasa memberi kelulusan serta memantau kerja utiliti dan kesulitan mendapatkan data utiliti  dengan spesifikasi tepat.

“Kerajaan negeri yakin pendekatan inovatif dan inklusif ini akan menjurus kepada kesejahteraan rakyat serta menjamin kesinambungan penyampaian kemudahan dan perkhidmatan awam di samping mewujudkan peluang pekerjaan dan perniagaan baharu.

“Rakyat akan dapat menikmati kehidupan yang lebih selesa, fasiliti kerajaan yang lebih baik dan keselamatan yang lebih terjamin melalui perkhidmatan KUDR,” jelasnya.

Beliau berkata, selaras dengan sasaran Perak Sejahtera 2030, KUDR telah membangunkan satu sistem atas talian iaitu KUDRAT bagi memperkasa ekonomi digital, pembuatan keputusan dipacu data serta tadbir urus projek berkepentingan negeri.

“Bermula 1 April lalu, KUDR telah mula menerima permohonan korekgali utiliti melalui sistem KUDRAT dan kerajaan negeri mengalu-alukan sokongan padu semua pemegang taruh bagi menjayakan pelan transformasi digital yang lebih efisien dan telus,” jelasnya.

Sementara itu, Saarani memaklumkan orang awam juga boleh membuat laporan melalui KUDRAT jika berlaku kerosakan fasiliti awam di kawasan mereka. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Belanjawan Perak 2024: RM188.1 juta untuk JKR, naik taraf jalan

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI