Belanjawan Perak 2024: RM188.1 juta untuk JKR, naik taraf jalan

IPOH – Kerajaan Negeri Perak memperuntukkan sebanyak RM188.1 juta kepada belanja mengurus dan pembangunan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, RM100 juta yang diperutukkan bagi tujuan pembangunan itu merekodkan peningkatan sebanyak RM10 juta berbanding tahun sebelumnya.

Katanya, daripada jumlah berkenaan, sebanyak RM37 juta diperuntukkan bagi projek jalan dan jambatan serta RM63 juta untuk projek bangunan.

“Kerja-kerja pembinaan serta menaiktaraf prasarana akan dapat memberi impak positif dengan penyediaan sistem jaringan jalan yang kondusif serta dapat memberi keselesaan kepada rakyat dan seterusnya menggalakkan aktiviti perdagangan.

“Antara projek yang disasarkan mampu memberi impak positif adalah RM8 juta bagi Projek membina jambatan baharu dari Kampung Bahagia ke Bandar Teluk Intan, Daerah Hilir Perak.

”RM8 juta bagi projek menggantikan Jambatan Enggor, Di Laluan A156 Jalan Jawang/ Karai/ Trosor, Daerah Kuala Kangsar, serta RM5 juta untuk projek menaik taraf jalan-jalan di Perak,” katanya.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad meneliti inti pati Belanjawan Perak 2024 pada Mesyuarat Kelima, Tahun Pertama, Persidangan Dewan Undangan Negeri ke-15 Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan. Foto ABDULLAH YUSOF, 1 DISEMBER 2023.

Beliau berkata demikian dalam Pembentangan Belanjawan Perak 2024 sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, di sini, pada Jumaat.

Tambah Saarani, antara projek lain yang turut memberi impak positif adalah projek melebarkan persimpangan Jalan Kampung Banjar – Selabak dan Jalan Kampung Banjar – Padang Tembak, Daerah Hilir Perak bernilai RM4 juta.

Selain itu katanya, kerajaan negeri memperuntukkan RM3 juta bagi kerja-kerja penyelenggaraan elektrik untuk lampu isyarat jalan-jalan negeri.

Ujar beliau lagi jumlah sama juga diperuntukan kepada projek pembinaan jeti Sungai Pinang Kecil sebagai Pusat Koordinasi Daerah Manjung yang dijangka memberi impak besar sebagai hab pengangkutan laut.

“Sebanyak RM2.5 juta diperuntukkan untuk projek pemasangan dan penggantian lampu jalan sedia ada kepada jenis solar.

“Projek ini dirancang bagi menyokong kelestarian pembangunan melalui pengurangan pelepasan karbon yang boleh mencemar alam sekitar.

“Fokus pemasangan baharu lampu solar ini adalah di kawasan-kawasan yang gelap selain penggantian lampu-lampu jalan sedia ada,” katanya lagi.

Di samping itu, Saarani berkata kerajaan negeri dijangka menerima peruntukan Kumpulan Wang Amanah Penyelenggaraan Jalan Negeri (MARRIS) RM600 juta untuk menyelenggara jalan-jalan yang berdaftar. -MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Perak dijangka bentang belanjawan negeri berjumlah RM1.5 bilion

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI