PARIT – Usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) digesa memanfaatkan dana di bawah Program Sokongan Industri dan Perniagaan Rakyat (Sinar) yang menawarkan pembiayaan sehingga RM5 juta bagi membantu mengembangkan semula perniagaan.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohamad Alamin berkata, kemudahan pembiayaan itu terbuka kepada usahawan mikro, kecil dan sederhana mengikut keperluan serta skala perniagaan masing-masing.
Beliau berkata, selain pembiayaan, kerajaan turut menyediakan geran sehingga RM200,000 di bawah program sama bagi membantu usahawan meningkatkan kapasiti dan daya saing perniagaan.
“Kemudian kita juga menyediakan di bawah program Sinar ini adalah geran sehingga RM200,000 untuk membantu mereka yang layak.
“Paling penting adalah kita mahu membantu usahawan mikro, kecil dan sederhana; para belia dan wanita yang banyak menjadi usahawan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir ke karnival berkenaan di Dewan Dato’ Ahmad Hambal, Bota Kanan, di sini, pada Selasa.
Hadir sama Pegawai Khas Menteri Besar Perak DUN Bota, Sarah Syazwani Saari.

Mohamad berkata, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) turut menyediakan pelbagai program pembangunan kapasiti melalui SME Corp. Malaysia dan Institut Keusahawanan Negara (INSKEN).
Menurut beliau, program bimbingan, latihan dan kursus yang ditawarkan bukan sahaja meningkatkan kemahiran usahawan, malah membolehkan mereka memperoleh pensijilan berkaitan bagi memperkukuhkan kredibiliti perniagaan.
Jelasnya lagi, sijil pengesahan status PMKS yang dikeluarkan oleh SME Corp. Malaysia amat penting kerana ia menjadi antara syarat bagi memudahkan usahawan mengakses pelbagai bentuk bantuan serta pembiayaan yang disediakan kerajaan dan agensi berkaitan.
“Sijil tersebut penting kerana ia dapat membantu mereka mendapatkan lebih banyak dana yang disediakan sama ada oleh kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri mahupun agensi-agensi lain,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, KUSKOP akan terus memperkukuhkan ekosistem keusahawanan negara menerusi kerjasama erat dengan kerajaan negeri serta pelbagai pihak berkepentingan.
“Insya-Allah, kita akan terus memperkasakan program keusahawanan di seluruh negara dengan kerjasama semua kerajaan negeri dan juga pihak berkepentingan yang lain,” katanya. -MG Perak


