KWSP peruntuk RM250 juta memangkin pertumbuhan syarikat pertengahan

KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memperuntukkan sebanyak RM250 juta bagi memangkin pertumbuhan syarikat peringkat pertengahan di Malaysia melalui usaha sama dengan Gobi Partners.

Gobi Partners adalah sebuah firma modal teroka pan-Asia yang mempunyai rekod prestasi pelaburan yang luas.

KWSP dalam kenyataan hari ini berkata usaha sama ini adalah sebahagian daripada komitmennya untuk meningkatkan pelaburan dalam pasaran domestik, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai pelabur terbesar dalam pasaran domestik dengan aset di bawah pengurusan sebanyak RM702.48 bilion setakat Disember 2023.

“Pelaburan ini akan bertumpu kepada enam tema strategik, termasuk penjagaan kesihatan yang memfokuskan kepada penjagaan warga emas dan silver economy; pertanian dan sains makanan yang melihat kepada penambahbaikan ekosistem pengeluaran makanan; dan keterangkuman perkhidmatan kewangan.

“Selain itu, kemampanan dengan bertumpukan kepada peralihan tenaga; pendidikan yang bertujuan untuk menyediakan pendidikan berkualiti; dan infrastruktur sosial serta lain-lain usaha yang bertepatan dengan mandat strategik KWSP,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Ahmad Zulqarnain Onn berkata KWSP komited terhadap pembangunan syarikat berpotensi tinggi di Malaysia di samping menyelaraskan strategi KWSP dengan pembangunan ekosistem perlindungan sosial yang inklusif.

“Komitmen ini adalah berlandaskan mandat untuk memenuhi beberapa tema pelaburan strategik termasuk penjagaan kesihatan, dengan tumpuan kepada penjagaan warga emas dan silver economy, sekali gus mencerminkan pengiktirafan KWSP terhadap kepentingan menangani keperluan penduduk yang semakin menua.

“Dalam jangka panjang, kami berharap usaha ini menyumbang kepada membina masyarakat yang berdaya tahan terhadap cabaran ekonomi dan sosial, selain memberikan pulangan yang baik untuk ahli kami,” katanya dalam kenyataan sama.

Pengasas dan Pengerusi Bersama Gobi Partners, Thomas G. Tsao berkata Gobi Partners berbangga untuk bekerjasama dengan KWSP dalam komitmen ke arah pertumbuhan syarikat peringkat pertengahan di Malaysia.

“Tumpuan strategik kami terhadap enam tema utama menekankan dedikasi kami untuk memacu inovasi dan mencipta impak sosioekonomi yang berkekalan,” katanya.

Menurut kenyataan itu, KWSP kekal komited untuk meningkatkan pelaburannya dalam syarikat peringkat pertengahan yang selaras dengan misi KWSP untuk mencipta nilai jangka panjang untuk ahli serta menyediakan modal kepada ekonomi Malaysia secara keseluruhan.

“Bagi menyokong Rangka Kerja Ekonomi MADANI, KWSP berusaha untuk memainkan peranan penting di samping syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dalam menyokong dan memajukan ekosistem di peringkat awal, selain melabur secara strategik dan menangani jurang kritikal dengan KWSP boleh membantu memacu pertumbuhan syarikat-syarikat ini serta meraih pulangan larasan risiko yang baik.

“Komitmen ini juga adalah usaha KWSP untuk mengukuhkan perlindungan sosial melalui pelaburan strategik dalam syarikat bersaiz sederhana yang berpotensi di Malaysia,” katanya.- BERNAMA

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI