KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini mengumumkan kadar dividen sebanyak 6.30% bagi simpanan konvensional, dengan jumlah agihan sebanyak RM63.05 bilion; dan 6.30% bagi dimpanan syariah, dengan jumlah agihan sebanyak RM10.19 bilion.
Ini menjadikan jumlah keseluruhan agihan untuk tahun 2024 sebanyak RM73.24 bilion.
KWSP berkata, pengkreditan dividen akan selesai pada Ahad, 2 Mac 2025 dan ahli boleh menyemak akaun mereka melalui i-Akaun atau mendapatkan penyata di Terminal Layan Diri (SST) KWSP di seluruh negara.
Bagi tahun berakhir 31 Disember 2024, KWSP mencatatkan jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM74.46 bilion, meningkat 11% berbanding RM66.99 bilion yang direkodkan pada 2023.
Jumlah ini adalah selepas mengambil kira turun nilai kos ke atas ekuiti tersenarai bagi tahun tersebut.
Aset pelaburan KWSP mencapai RM1,249.71 bilion, naik 10% daripada RM1,135.82 bilion pada 2023.
Peningkatan ini didorong oleh pendapatan portfolio yang kukuh serta jumlah caruman bersih sebanyak RM108.22 bilion, naik 11% daripada RM97.56 bilion pada 2023.
Pengerusi KWSP, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, kadar dividen yang lebih tinggi bagi tahun 2024, didorong oleh pemulihan pasaran global dan domestik, pertumbuhan ekonomi yang kukuh, serta pengurusan portfolio yang berhemah.
“Dengan memanfaatkan perkembangan positif ini, strategi pelaburan kami yang pelbagai membolehkan kami meraih peluang pertumbuhan, mengoptimumkan pulangan, dan memperkukuh jaminan kewangan jangka panjang untuk ahli kami.
“Di peringkat domestik, pelaburan yang kukuh, pasaran buruh yang sihat, dan inflasi yang stabil telah merangsang permintaan, sementara eksport mendapat manfaat daripada kestabilan global dan kitaran pertumbuhan teknologi.
“Di bawah pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, inisiatif kerajaan di bawah Belanjawan 2024, serta pelan strategik yang lebih luas di bawah kerangka Ekonomi MADANI telah menarik pelaburan asing dan mengukuhkan ekonomi, selain mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk pertumbuhan yang mampan,” tambah beliau.
Ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5.1% (2023: 3.6%) dengan pasaran saham menunjukkan kekuatan yang ketara. Penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mencatat pertumbuhan dua angka sebanyak +12.9% (2023: -2.7%) dan memuncak pada 1,678.80 mata pada Ogos, paras tertinggi sejak Disember 2020.
Prestasi global pula bercampur-campur, mencerminkan keadaan ekonomi yang berbeza mengikut rantau. Bank-bank pusat di seluruh dunia mengekalkan kadar faedah yang agak tinggi bagi membendung tekanan inflasi daripada tahun-tahun sebelumnya.
Walaupun kadar faedah yang lebih tinggi lazimnya menekan penilaian ekuiti, ia juga mencipta peluang pelaburan dalam pendapatan tetap, memberi kesan bercampur kepada pasaran saham. -MG Perak