Laksana semula UPSR, PT3: Sebarang keputusan perlu utama kecemerlangan pelajar

PARIT – Kerajaan Negeri Perak menzahirkan harapan agar sebarang keputusan berhubung kajian pelaksanaan semula Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) haruslah mengutamakan soal kecemerlangan pelajar.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri Perak, Datuk Khairudin Abu Hanipah berkata, selain itu, faktor kemenjadian pelajar sekolah dalam menerangi cabaran pendidikan yang cukup mencabar juga perlu diberi tumpuan.

Menurut beliau, pihaknya sedar ramai ibu bapa menaruh harapan agar peperiksaan berkenaan dikembalikan kerana beranggapan ia lebih berfokus dan sebagainya.

“Tetapi pihak Kementerian Pendidikan telah mengamalkan penilaian atau pentaksiran bilik darjah (PBD) dan itu sebagai satu elemen yang cukup baik.

“Ia selari dengan usaha bagi memastikan hasrat dan juga impian seperti yang dilontarkan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelektual itu berjaya diterapkan dalam PBD,” katanya.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Datuk Khairudin Abu Hanipah pada sidang media ketika meninjau suasana hari pertama Sesi Persekolahan 2026 di Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Chung Hwa Parit. Foto ABDULLAH YUSOF 12 JANUARI 2026.

Beliau berkata demikian kepada Malaysia Gazette (MG) Perak selepas hadir meninjau suasana hari pertama Sesi Persekolahan 2026 di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hwa, di sini, pada Isnin.

Terdahulu Khairuddin meluangkan masa meninjau hari pertama Sesi Persekolahan 2026 di Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Gajah dan SK Belanja Kiri.

Mengulas lanjut, Khairudin berkata, keputusan mengembalikan semula peperiksaan UPSR da PT3 bergantung kepada kajian yang dilaksanakan Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) yang diberi amanah oleh KPM.

Jelasnya, kajian berkenaan berkemungkinan melibatkan semua pihak termasuk ibu bapa, persatuan bukan kerajaan (NGO), bekas guru dan warga pendidik, serta masyarakat.

“Ini kerana sebarang keputusan perlu dilihat dari segi kebaikkan dan juga kelemahan dan sudah pastilah pihak KPM akan melaksanakan kajian secara mendalam sebelum sesuatu pelaksanaan khususnya yang melibatkan kemenjadian murid,” katanya.

Malaysia Gazette pada Isnin melaporkan KPM akan memulakan kajian pelaksanaan semula UPSR dan PT3 tahun ini.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, kajian tersebut dalam masa yang sama akan mengambil kira pandangan ibu bapa.

Sehubungan itu, beliau meminta semua pihak memberi KPM sedikit masa untuk menyelesaikan kajian berkenaan sebelum dibentangkan kepada Jemaah Menteri. -MG Perak

Artikel Berkaitan:

Kajian laksana semula UPSR, PT3 mula tahun ini sebelum bentang kepada Jemaah Menteri – Fadhlina

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI