IPOH – Langkah penjimatan yang sedang dilaksanakan kerajaan susulan kesan rantaian daripada ketegangan geopolitik di Asia Barat ketika ini tidak menjejaskan persiapan pasukan negeri Perak dalam menghadapi temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 pada Ogos depan.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Datuk Khairudin Abu Hanipah berkata, bagaimanapun kerajaan negeri akan mengoptimumkan penggunaan bajet yang telah diluluskan dalam pembentangan Belanjawan Negeri 2026 khususnya yang membabitkan program latihan atlet.
Katanya, kerajaan negeri memahami cabaran semasa yang dihadapi dalam memastikan semua keperluan yang berkaitan dapat dipenuhi, namun perbelanjaan tetap dilaksanakan secara berhemah.

“Kita mengamalkan sikap berjimat cermat berdasarkan bajet yang telah diluluskan oleh kerajaan negeri untuk SUKMA 2026 di samping berbelanja mengikut kemampuan,”
“Insya-Allah dengan peruntukan yang sedia ada, kita mampu menyusun pelbagai program latihan untuk menghadapi 37 jenis sukan yang dipertandingkan dalam temasya tersebut.
“Dan kita juga yakin Perak mampu memberi cabaran yang cukup hebat pada SUKMA Selangor 2026 nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian dan Menandatangani Penajaan Akademi Ragbi Ipoh (ARAI) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Anderson, di sini, pada Sabtu.

Akademi yang mula ditubuhkan pada dua tahun lalu itu mendapat tajaan daripada enam pihak swasta iaitu Syarikat YBS Retail Trading Sdn. Bhd. melalui jenama emas Siti Jewels; Restoran Niase Sdn. Bhd. ; Cik Jr. Cafe; Jenama sukan Torpedo; Jenama sukan Defender, serta Jenama sukan AKProduction.
Dalam pada itu, Khairudin menegaskan bahawa pasukan kejurulatihan serta atlet tidak perlu bimbang terhadap isu penjimatan yang sedang dilaksanakan kerana program latihan tetap berjalan seperti dirancang.
Ujar beliau, keputusan untuk meneruskan temasya sukan dwitahunan itu dibuat dalam mesyuarat jawatankuasa tertinggi yang dipengerusikan Menteri Belia dan Sukan baru-baru ini bagi mengelakkan peningkatan kos sekiranya berlaku penangguhan.
“Jika SUKMA ditangguhkan, kos akan bertambah termasuk elaun latihan dan penyelenggaraan berkaitan. Justeru kita telah memutuskan supaya SUKMA diteruskan berdasarkan bajet yang telah diluluskan sama ada di peringkat Persekutuan atau negeri.
“Saya harap atlet dan jurulatih tidak terlalu memikirkan perkara ini, sebaliknya fokus kepada persiapan, latihan, pendedahan dan sebagainya untuk kita menyinar di SUKMA Selangor 2026 nanti,” katanya.

Ketika diminta mengulas berkenaan tahap persiapan pasukan SUKMA negeri, Khairudin berkata, satu Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang lebih mendalam sedang diperincikan bagi memastikan sasaran pingat dan sukan yang ditetapkan pada kali ini adalah lebih realistik.
Jelas beliau, penentuan sasaran berkenaan bukan sahaja ditentukan oleh jurulatih semata-mata, malah turut melibatkan Majlis Sukan Negeri, persatuan sukan dan jawatankuasa berkaitan.
“Yang penting sasaran yang kita tetapkan adalah realistik dan mampu dicapai. Namun yang penting, kita meletakkan sasaran untuk melepasi pencapaian pungutan pingat pada SUKMA edisi lalu,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, SUKMA Selangor 2026 akan tetap berlangsung mengikut jadual dari 15 hingga 24 Ogos ini, walau bagaimanapun ia dianjurkan pada skala lebih kecil susulan tekanan ekonomi semasa.
Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohamed Taufiq Johari dilaporkan berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira krisis tenaga global serta kesan ekonomi yang turut dirasai negara ini, selain meneliti semua aspek secara menyeluruh. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


