Lapan individu ditahan cetus kekecohan perlawanan Liga Super

IPOH – Polis menahan tujuh lelaki ekoran mencetuskan kekecohan dan provokasi semasa perlawanan bola sepak Liga Super antara Perak FC menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) yang berlangsung di Stadium Perak, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, kesemua lelaki warga tempatan yang ditahan itu berusia antara 19 hingga 27 tahun.

“Mereka semua ditahan kerana telah membuat kekecohan dan provokasi yang akan mengancam ketenteraman orang ramai di tempat awam.

“Hasil saringan air kencing mendapati kesemua suspek negatif dadah dan tiada rekod lampau jenayah. Kes disiasat di bawah Seksyen 160 Kanun Keseksaan di atas kesalahan melakukan gaduh gempar,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, beliau berkata, polis turut menahan seorang remaja berusia 16 tahun kerana menghalang tugas pegawai polis dengan membaling botol ke arah anggota polis yang sedang bertugas.

Menurutnya, hasil saringan air kencing yang dijalankan mendapati suspek negatif dadah dan tiada rekod lampau jenayah.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan atas kesalahan menghalang penjawat awam pada menjalankan kerja-kerja jawatannya,” jelasnya.

Abang Zainal berkata, pihak siasatan sedang melengkapkan siasatan kes ini dan akan merujuk kertas siasatan kepada pendakwa raya negeri untuk cadangan pertuduhan ke atas suspek.

“Justeru, pihak polis ingin menasihatkan kepada orang ramai supaya tidak mengambil tindakan yang melangkau undang-undang serta tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian ini bagi mengelakkan kekeliruan dan kegusaran masyarakat,” ujarnya.

Semalam, perlawanan antara kedua-dua pasukan itu terpaksa ditunda ke tarikh baharu akibat cuaca buruk dan keadaan padang yang tidak memuaskan.

Perkara tersebut diumumkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dan tarikh baharu perlawanan tersebut akan dimaklumkan dalam tempoh terdekat. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Separuh akhir Piala Malaysia: Tiada kekecohan di stadium

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI