Laporan siasatan kebakaran kediaman Koo Ham diperoleh minggu ini

IPOH – Laporan siasatan bagi mengenal pasti punca kebakaran kediaman Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham di Taman Semarak Jaya, Ayer Tawar dekat sini pada 10 Januari lalu dijangka akan diperolehi dalam minggu ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon berkata, laporan tersebut melibatkan keputusan analisis dua bahan bukti iaitu molotov cocktail yang ditemui di lokasi kejadian.

Menurutnya, siasatan sudah dibuat secara menyeluruh dan dua bahan bukti itu sudah dibawa ke makmal di Kuala Lumpur bagi mendapatkan pengesahan.

“Kita sudah menjalankan siasatan dan meminta bantuan Unit Forensik dan Unit Anjing Pengesan (K9) JBPM. Kalau mengikut prosedur operasi standard (SOP), keputusan tersebut akan diperoleh dalam tempoh 10 hari.

“Jadi, kemungkinan dalam tempoh dua ke tiga hari keputusan itu akan kita lengkapkan siasatan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Amanat Tahun Baharu 2024 JBPM Perak di Dewan Premier Ibu Pejabat JBPM Perak, di sini, pada Isnin.

Beliau berkata, keputusan yang diperolehi itu akan diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan lanjut.

“Selepas mendapat keputusan, baru kita menjurus kepada pihak polis Perak untuk menyatakan sama kejadian itu melibatkan arson (pembakaran) atau khianat.

“Sekiranya keputusan kita peroleh daripada makmal menyatakan adanya unsur khianat di lokasi kejadian kita akan memaklumkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” jelasnya.

Sebelum ini, MG Perak melaporkan, Unit Forensik JBPM Perak telah mengambil 11 sampel di kediaman Koo Ham untuk dibawa ke makmal bagi siasatan lanjut.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, sebuah kereta Mercedes Benz E300 terbakar 80 peratus manakala Honda CRV dan Toyota Hilux masing-masing mengalami lima peratus kebakaran.

Selain itu, siling dan bumbung garaj kediaman Ahli Parlimen Beruas itu turut rosak dalam kebakaran tersebut. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

JBPM Perak ambil 11 sampel di kediaman Ngeh Koo Ham

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI