Lebih 100,000 hadir Karnival Hari ATM 2023

LUMUT – Seramai 136,361 pengunjung direkodkan sepanjang Karnival Hari Angkatan Tentera Malaysia (KHA) 2023 yang berlangsung di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), dekat sini bermula 13 hingga 15 Oktober lalu.

Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Barat dalam satu kenyataan berkata, kejayaan penganjuran acara yang diadakan bersempena dengan Sambutan Hari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Ke-90 itu membuktikan sokongan padu rakyat terhadap ATM.

“ATM dan TLDM khususnya merakamkan jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pengunjung serta agensi kerajaan, badan korporat dan syarikat swasta yang telah terlibat sama ada sewaktu demonstrasi atau pameran sepanjang KHA 2023,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Bertemakan ‘Kedaulatan Negara Tanggungjawab Bersama’, kenyataan itu memaklumkan objektif penganjuran dalam mendekatkan masyarakat dengan ATM itu dijayakan melalui kolaborasi ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM iaitu Darat, Laut dan Udara.

Tambahnya, ia juga bertujuan mempromosikan peranan ATM dalam melindungi kedaulatan dan integriti wilayah negara.

Jelas kenyataan sama, sepanjang KHA 2023 berlangsung, pengunjung berpeluang menyaksikan demonstrasi keupayaan ATM melalui segmen Demonstrasi Operasi Maritim melibatkan ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM serta segmen persembahan.

Antaranya adalah Kawad Senyap, Pancaragam dan Sunset Ceremony dari TLDM, Army The Red Warrior dan Anjing Perang TDM, serta Penerjunan Bebas Pasukan Khas ATM.

Pada masa sama, menurutnya sepanjang acara berkenaan berlangsung, pengunjung juga berpeluang mendekati aset-aset pertahanan negara melalui segmen Pameran Statik dan melawat kapal-kapal TLDM

“Selain demonstrasi dan pameran, pengunjung turut diberi peluang menyertai pertandingan yang dianjurkan seperti pertandingan Armada Swimming Challenge, Armada Explorace, Sukan Rakyat, Pakaian Beragam, Mobile Legend dan Tali Balingan.

“Lebih menarik, kebanyakan acara ini seperti Sukan Rakyat, Pakaian Beragam, Mobile Legend dan Tali Balingan telah dilaksanakan di kapal-kapal TLDM yang semestinya menjadi pengalaman berharga buat peserta yang terlibat,” katanya lagi. -MG Perak.

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI