KUALA KANGSAR – Lebih 12,000 orang menyertai Larian Hari Keputeraan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah (LHKSNS) 2024, di sini pada Ahad.
Acara yang memasuki edisi ke-12 itu kembali diadakan di Kuala Kangsar selepas dianjurkan di Taiping pada edisi tahun lalu bersempena dengan sambutan ke-150 tahun Bandar Warisan itu.
Turut berangkat ke larian berkenaan adalah, Sultan Nazrin, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; anakanda baginda, Raja Nazira Safya dan adinda Sultan Nazrin, Raja Datuk Seri Yong Sofia.
Hadir sama, Hadir sama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; isteri, Datin Seri Aezer Zubin, serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.
Larian yang diadakan bersempena dengan Hari Keputeraan Sultan Perak itu bermula dengan pelepasan 5,579 peserta larian bagi kategori 15 kilometer (km) pada jam 6.50 pagi oleh baginda di Dataran Pavilion Kuala Kangsar.
Sultan Nazrin turut berkenan melepaskan peserta larian kategori 10 km melibatkan 4,623 peserta dan 1,418 peserta bagi kategori 7 km.
Baginda dan Tuanku Zara kemudian berkenan bersama tetamu kehormat lain dalam acara kategori tetamu kenamaan yang disempurnakan pelepasannya oleh Raja Yong Sofia.
Selepas acara larian tersebut, baginda berdua turut disajikan dengan persembahan pancaragam daripada pelajar Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Clifford, Kuala Kangsar serta persembahan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Tuanku Zara kemudian berkenan menyampaikan hadiah kepada para pemenang acara LHKSNS 2024.
Terdahulu, pada larian itu turut ada dalam kalangan peserta mengenakan busana tradisional, kostum haiwan dan watak-watak terkenal dalam filem antarabangsa.
Kesemua peserta turut dipersembahkan dengan pelbagai persembahan di sepanjang trek larian di sekitar Kota Lama Kanan dan Sayong.
Antaranya, persembahan kebudayaan, sajian kuih tradisional, demonstrasi kerbau membajak sawah, dan sebagainya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Sultan Nazrin berkenan berangkat ke LHKSN 2023