Lebih 21,000 saman dikeluarkan dalam Op Perdagangan

KUALA LUMPUR – Sebanyak 21,200 saman melibatkan pelbagai kesalahan jalan raya dikeluarkan ke atas 135,193 kenderaan berat menerusi Op Perdagangan yang dilaksanakan di seluruh negara dari 20 September hingga 14 November lepas.

Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Razarudin Husain berkata sebanyak 109 individu turut ditahan sepanjang tempoh operasi berkenaan.

“Antara kesalahan yang direkodkan membawa muatan berlebihan dan fizikal kenderaan tidak memuaskan yang berisiko menjadi penyumbang kepada kemalangan jalan raya,” katanya pada Perhimpunan Bulanan KPN bagi November 2023 anjuran Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) di Bukit Aman, di sini hari ini.

Razarudin berkata polis memandang serius kes kemalangan melibatkan kenderaan berat seperti lori dan bas hingga mengorbankan nyawa orang ramai.

Menurutnya langkah proaktif juga telah diambil termasuk melaksanakan Op Perdagangan secara berterusan ke atas kenderaan berat bagi memastikan pemandu dan pengusaha syarikat pengangkutan mematuhi peraturan serta undang-undang keselamatan jalan raya.

“Dari Januari hingga Oktober lepas, polis telah melaksanakan 1,078 Op Perdagangan berbanding 797 operasi dalam tempoh yang sama pada tahun lepas.

“Selain itu, polis juga telah meningkatkan penguatkuasaan dan pemeriksaan bermula 20 September hingga 14 November lepas,” katanya.

Razarudin turut meletakkan harapan tinggi ke atas warga JSPT agar terus konsisten dan kekal komited melaksanakan penguatkuasaan selari dengan pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia 2022/2023.

Beliau berkata menerusi pelan yang dibangunkan itu, kementerian dan agensi yang berkepentingan termasuk polis akan terus bekerjasama merencana perancangan strategik dan langkah intervensi sekali gus mencapai hasrat ke arah mengurangkan kematian akibat kemalangan jalan raya di negara ini.

— BERNAMA

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI