Lebih banyak bantuan kepada rakyat – Saarani

LENGGONG – Peningkatan ketara hasil negeri dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini membolehkan pelbagai bantuan dan inisiatif kebajikan diperluaskan.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, prestasi kewangan negeri berada pada tahap memberangsangkan apabila Perak berjaya merekodkan lebihan belanjawan selama tiga tahun berturut-turut, dengan hasil negeri meningkat kepada RM1.23 bilion pada 2023, berbanding RM1.13 bilion pada tahun sebelumnya.

Saarani berkata, prestasi fiskal Perak yang kukuh memungkinkan kerajaan negeri membentang bajet lebih besar saban tahun dan menyalurkan manfaat yang lebih luas kepada rakyat.

“Pencapaian Perak mencatat lebihan bajet selama tiga tahun berturut-turut walaupun perbelanjaan ditingkatkan setiap tahun, jelas mencerminkan pengurusan fiskal yang cermat dan kecekapan pentadbiran negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Laporan Kemajuan Tahun Ketiga Perak Sejahtera 2030 di Kolej Kemahiran Tinggi MARA Lenggong, pada Isnin.

Saarani berkata, kelebihan melalui peningkatan kutipan hasil negeri itu membolehkan pelbagai bentuk bantuan diperkenalkan dan ditambah nilai setiap tahun, termasuk Bantuan Khas Kewangan (BKK) kepada penjawat awam negeri serta menaikkan kadar bantuan kebajikan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daripada RM300 kepada RM500 sebulan.

Penerima Kad Perak Sejahtera (KPS) pada Majlis Penyerahan Bantuan KPS Daerah Kinta di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh, pada Sabtu. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 22 FEBRUARI 2025.

Selain itu, katanya, manfaat kenaikan bantuan turut meliputi makanan asas melalui pengagihan kotak makanan, Kad Perak Sejahtera serta peluasan program Kedai Bergerak Negeri Perak dan penambahbaikan Bas Perak Sejahtera serta beberapa inisiatif bantuan pendidikan dan mahasiswa.

“Inisiatif membasmi kemiskinan pula menunjukkan impak besar apabila sebanyak 8,986 Ketua Isi Rumah (KIR) berjaya dikeluarkan daripada kategori miskin tegar melalui program bersasar seperti OSC Sejahtera Sosial, eKasih, dan IPR (Inisiatif Pendapatan Rakyat).

“Banyak perancangan yang kita susun sejak 2022 kini bukan sahaja mula menampakkan hasil, malah memberi impak langsung kepada rakyat,” kata Saarani.

Dalam pada itu, Saarani berkata, kemakmuran ekonomi negeri turut memberi kesan langsung kepada peningkatan kutipan zakat, terutamanya zakat harta, yang mencerminkan kemakmuran ekonomi di Perak.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad merasmikan buku Laporan Kemajuan Tahun Ketiga Perak Sejahtera 2030 di Kolej Kemahiran Tinggi Mara, Lenggong. Foto ABDULLAH YUSOF, 30 JUN 2025.

Peningkatan kutipan zakat itu juga katanya, telah membolehkan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) memperluaskan bantuan kepada golongan asnaf dan B40 dalam bentuk bantuan pendidikan, kesihatan, keusahawanan serta kebajikan.

Dilancarkan pada 15 Jun 2022, Pelan Perak Sejahtera 2030 menggariskan sembilan agenda utama kini memasuki tahun ketiga pelaksanaannya.

Sembilan agenda yang digaris melibatkan Sekuriti Makanan, Ekonomi Digital, Pembuatan Keputusan Berpacukan Data, Koridor TVET Malaysia, Perlombongan Bertanggungjawab, Tadbir Urus Projek Berkepentingan Negeri, Pembangunan Sosial, Kelestarian Alam dan Biodiversiti, serta Pemerkasaan Pihak Berkuasa Tempatan.

Saarani berkata, Perak kini berada pada momentum yang kukuh dalam menjayakan sembilan agenda utama yang digariskan bagi memacu sosioekonomi negeri itu menjelang tahun 2030.

Menurut beliau, memasuki tahun ketiga pelaksanaan pelan Perak Sejahtera 2030, 108 daripada 272 projek dan inisiatif telah pun dijayakan manakala 128 lagi kini sedang dalam peringkat pelaksanaan. -MG Perak

Artikel Berkaitan:

Pembentangan Laporan Kemajuan Tahun Ketiga Perak Sejahtera 2030

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI