Leka curi kabel TM, tiga lelaki dicekup polis

TAIPING – Kelekaan tiga lelaki membuka penutup lubang utama kabel Telekom Malaysia (TM) memakan diri apabila mereka ditangkap polis dalam kejadian di Padang Gajah, di sini, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ismail berkata, kesemua suspek berusia antara 26 hingga 27 tahun itu ditahan dalam satu serbuan sekitar jam 12.20 tengah malam.

Menurut beliau, pihak polis turut mendapati ketiga-tiga suspek baharu sahaja menjinakkan diri dalam kegiatan mencuri kabel TM di daerah Taiping.

“Ketika serbuan dijalankan semua tangkapan sedang leka melakukan kerja-kerja membuka lubang utama kabel TM di mana modus operandi suspek akan masuk ke dalam lubang berkenaan untuk memotong kabel.

“Selepas kabel dipotong suspek akan menarik ia ke atas menggunakan kenderaan,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping, di sini, pada Isnin.

Mengulas lanjut Mohamad Nasir berkata, hasil daripada serbuan berkenaan polis turut merampas peralatan seperti besi ‘T’ pembuka lubang utama, besi kuku kambing, tukul besi, pemotong besi dan pemutar skru dan sebuah kereta.

Ujar beliau, kesemua peralatan dan kereta yang dirampas dipercayai untuk kegunaan mencuri kabel TM.

Beliau berkata, kesemua suspek yang ditahan masih bujang dan semakan lanjut mendapati ketiga-tiga mereka tidak mempunyai rekod lampau jenayah.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 431A Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 511 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan,” katanya. -MG Perak

Artikel Berkaitan:

Dua lelaki pakai baju Telekom dicekup polis, curi kad sistem TM

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI