BATU GAJAH – Seorang lelaki ditahan selepas dipercayai menganiaya seekor anak kucing dengan memukul haiwan itu menggunakan penyapu aluminium di kawasan parkir sebuah rumah di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Md. Noor Aehawan Mohammad berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu kira-kira pukul 12.04 tengah hari, 19 Ogos lalu.
Menurut beliau, kejadian tersebut dipercayai dirakam jiran suspek yang juga merupakan saksi kejadian.
“Semakan terhadap rakaman video berdurasi dua minit 19 saat mendapati seorang lelaki dilihat memukul seekor anak kucing beberapa kali menggunakan sebatang penyapu jenis aluminium.
“Kejadian tersebut berlaku di dalam kawasan parkir rumah suspek,” katanya dalam kenyataan media pada Khamis.
Md. Noor Aehawan berkata, susulan kejadian itu, suspek telah hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Gajah untuk menyerah diri dan ditahan bagi membantu siasatan.
Katanya, siasatan awal mendapati suspek mengaku memukul anak kucing berkenaan selepas mendakwa haiwan itu masuk ke bahagian enjin kenderaan miliknya yang diparkir di dalam kawasan rumah.
“Suspek bertindak sedemikian kerana mendakwa bimbang keadaan itu boleh mendatangkan bahaya kepada kucing berkenaan selain menyebabkan kerosakan pada kenderaan sekiranya enjin dihidupkan atau kenderaan dijalankan,” katanya.
Tambah beliau, hasil siasatan juga mendapati anak kucing berkenaan masih hidup dan telah diambil oleh jiran dan akan di bawa ke klinik veterinar hari ini untuk mendapatkan rawatan.
“Laporan veterinar akan dipohon bagi melengkapkan siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan dan Seksyen 29(1)(a) Akta Kebajikan Haiwan 2015,” katanya. -MG Perak


