TAIPING – Seorang lelaki yang dilaporkan hilang semalam selepas dipercayai terjatuh dari bot ketika keluar bekerja, ditemukan lemas di perairan Jeti Kuala Sepetang, di sini hari ini.
Mangsa, Aziz Bakar, 50, ditemukan oleh sekumpulan nelayan di kawasan berkenaan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 12.10 tengah malam tadi.
Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taiping digerakkan ke lokasi pada jam 8.26 pagi.
Katanya, mereka turut dibantu BBP Kamunting, Bagan Serai dan Kuala Kurau.
“Kita menerima laporan seorang lelaki berusia 50 tahun disyaki lemas selepas terjatuh dari bot fiber yang dinaikinya semasa keluar bekerja berhampiran dengan perairan laut Kuala Sangga dekat sini semalam sekitar jam 4.30 petang.
“Mangsa disedari hilang berikutan rakan mangsa menemui bot mangsa yang hanyut dan rakan mangsa cuba membuat pencarian namun gagal.
“Selain itu, mangsa juga dilaporkan mempunyai penyakit tekanan darah rendah dan sering pitam.
“Pihak bomba menerima maklumat tengah malam tadi dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) diteruskan pada pagi ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, anggota kemudiannya melakukan pemeriksaan dan membuka Pusat Kawalan Bomba (PKB) di jeti yang berhampiran.
“Pada ketika ini bot tidak dapat diturunkan berikutan air surut. Setelah dimaklumkan oleh sekumpulan nelayan berkaitan dengan penemuan mayat mangsa, ketua operasi bersama dengan anggota menaiki bot nelayan ke lokasi kejadian untuk membuat pengesahan dan mengambil mayat tersebut,” jelasnya.
Katanya, mayat mangsa diserahkan pada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Operasi tamat sepenuhnya jam 10.33 pagi,” katanya.
Artikel Berkaitan: