Lelaki maut, tangan menggigil sebelum terjatuh Sungai Perak

GERIK – Seorang lelaki maut selepas terjatuh ke dalam Sungai Perak ketika sedang menarik sebuah bot ke daratan berhampiran Jeti Kampung Pulau Belayar dekat sini, pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood berkata, pihaknya menerima maklumat berkenaan kejadian itu pada jam 5.10 petang.

Menurut beliau, hasil siasatan di lokasi mendapati mangsa bersama seorang rakan berusia 39 tahun telah pergi menangkap ikan di sungai berkenan menggunakan bot mangsa, sekitar jam 10 pagi.

“Kedua-dua mereka telah kembali ke jeti sekitar jam 4.30 petang, dan semasa sedang menarik bot untuk dirapatkan ke dataran, mangsa kelihatan dalam keadaan selesa.

“Menurut rakan mangsa, lelaki itu berdiri dalam keadaan tangan menggigil sebelum jatuh ke dalam sungai,” katanya dalam satu kenyataan, pada Selasa.

Zulkifli memberitahu, mangsa cuba diselamatkan dan berjaya di bawa naik ke tebing sungai oleh rakannya, namun pegawai kesihatan yang tiba mengesahkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

Ujar beliau, hasil siasatan dan pemeriksaan awal di lokasi kejadian mendapati tempat serta tubuh mangsa bebas daripada unsur jenayah.

“Hasil bedah siasat dijalankan di Hospital Gerik pada Selasa mendapati punca kematian mangsa adalah ‘Pending further investigation’ atau menunggu hasil siasatan lanjut.

“Di samping itu, tiada unsur-unsur jenayah dikesan pada tubuh mangsa dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Tambah beliau, jenazah mangsa telah diserahkan kepada waris dan pihak polis merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga mangsa. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Pemuda dikhuatiri lemas selepas terjatuh di Sungai Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI