IPOH – Puteri UMNO Negeri Perak mengecam kenyataan pemimpin pembangkang yang didakwa menyamakan kepimpinan wanita dengan ‘lembu betina’ selain menyifatkan ia sebagai biadab dan menghina wanita secara keseluruhan.
Ketuanya, Sarah Syazwani Saari berkata, kata-kata dan sikap seorang pemimpin mencerminkan nilai dan prinsip yang dibawa.
Justeru katanya, dakwaan yang dilontarkan mencerminkan betapa ceteknya pemikiran politik bagi sesetengah pihak yang masih berpolitik dengan cara menghina dan menyerang peribadi khususnya kaum wanita.
“Wanita dalam politik bukan hanya hiasan. Kami adalah penggerak komuniti, pembuat dasar, dan penyumbang aktif kepada pembangunan negara.
“Penghinaan seperti ini tidak mencerminkan kematangan demokrasi, sebaliknya mencerminkan budaya politik murahan, seksis dan tidak beradab,” katanya dalam satu kenyataan.
Ujar Sarah Syazwani, perkara itu mengecewakan apabila kenyataan tersebut pula dipertahankan oleh pemimpin parti sendiri.
Kata beliau, ia sekaligus menunjukkan bahawa budaya misoginis dan penghinaan terhadap wanita kini dijadikan modal politik oleh pihak tertentu.
Justeru Sarah Syazwani berkata, Puteri UMNO Perak menggesa permohonan maaf secara terbuka oleh pemimpin pembangkang terbabit dan menarik balik kenyataan yang disifatkan sebagai menghina.
Tambah beliau lagi, semua parti politik juga digesa untuk mendidik pemimpin mereka agar lebih bertanggungjawab dalam setiap ucapan dan tindakan.
“Wanita wajar dihormati, bukan dijadikan bahan penghinaan demi kepentingan politik sempit. Politik yang mencederakan maruah dan integriti hanya akan membawa perpecahan dan kebencian, bukan kemajuan,” ujarnya.
Pada Isnin, Ketua Penerangan Pemuda Pas Maran, Muhammad Salman Al Faris dalam satu hantaran di media sosial menekankan kepentingan kepimpinan lelaki dalam masyarakat sambil memberikan analogi berdasarkan pengalamannya menternak lembu selama lebih setahun.
Menurutnya, dalam pengurusan ternakan, lembu betina sering memimpin kumpulan ternakan tersebut termasuk menentukan lokasi meragut, waktu rehat dan waktu pulang, manakala lembu jantan hanya berperanan menjaga keselamatan kawanan. – MG Perak
Artikel Berkaitan: