LENGGONG – Lenggong Outdoor Festival (ODF) dijangka menjadi antara acara utama yang mampu melonjakkan industri pelancongan negara khususnya di Perak sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026).
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, kejayaan ODF membuktikan potensi besar Lenggong sebagai destinasi pelancongan berasaskan alam semula jadi, riadah dan patriotisme.
“Alhamdulillah, daripada penganjuran ODF, saya dimaklumkan penyertaan tahun ini jauh lebih baik berbanding sebelumnya malah, tahun ini kita menerima penyertaan daripada luar negara
“Pencapaian itu menjadikan ODF sebagai ‘trademark’ pelancongan Lenggong dan wajar diperluas ke peringkat antarabangsa bagi menarik lebih ramai pelancong sempena TMM 2026.
“Saya telah dimaklumkan oleh penganjur, untuk tahun hadapan kita akan melonjakkan lagi ODF ini ke peringkat antarabangsa bagi menarik lebih ramai pelancong luar negara seiring dengan usaha memperkasakan pelancongan sempena TMM2026,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas selesai menghadiri program Coffee Talk: Bicara Wira bersama Ikon Patriotik di Lenggong ODF 2025 di Resort Tasik Raban, di sini malam tadi.
Katanya, sambutan yang memberangsangkan terhadap penganjuran festival itu turut memberi impak positif kepada ekonomi setempat.
“Walaupun saya tidak mempunyai jumlah rasmi, saya dimaklumkan penyertaan kali ini melebihi tahun sebelumnya.
“Berdasarkan data terdahulu, program seperti ini menghidupkan kegiatan ekonomi sampingan seperti sewaan bot, resort, makanan, minuman dan perkhidmatan oleh usahawan tempatan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada penganjur kerana berjaya menampilkan kelainan melalui program Coffee Talk: Bicara Wira Bersama Ikon Patriotik yang mengetengahkan wira-wira negara dalam operasi penting seperti di Somalia, Lahad Datu dan tragedi Al-Maunah.
“Tokoh-tokoh yang hadir malam ini ialah individu yang telah mencipta sejarah negara. Mereka wajar dijadikan contoh kepada generasi muda berkaitan semangat patriotik dan kecintaan kepada tanah air.
“Nilai-nilai patriotik yang diketengahkan itu boleh menjadi sebahagian daripada tarikan pelancongan baharu.
“Selain pelancongan pendidikan dan pelancongan sukan, pelancongan patriotik juga boleh dijadikan satu daya tarikan kerana Lenggong mempunyai kelebihan dengan kawasan hutan, tasik, sungai dan gua yang sesuai untuk aktiviti seumpama ini,” ujarnya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Lenggong berharap ODF akan terus berkembang sebagai acara tahunan berimpak tinggi dan berdaya maju serta mendapat lebih ramai penyertaan dari dalam serta luar negara pada masa akan datang. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Perak buat semakan bajet naik taraf Lenggong selepas pengiktirafan UNESCO