Letak syarat ‘beli barang lain dulu, baru minyak masak’, peniaga berdepan denda RM1 juta

PARIT BUNTAR – Tindakan peniaga mengenakan pembelian bersyarat terhadap minyak masak paket 1 kilogram (kg) di sebuah kedai runcit di Alor Pongsu, dekat sini membawa padah apabila diserbu penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak.

Pengarahnya, Datuk Kamalludin Ismail berkata, serbuan yang dilakukan kira-kira jam 10.30 pagi itu susulan aduan orang ramai berhubung tindakan peniaga yang meletakkan syarat bagi pembelian barang kawalan itu.

Minyak masak paket peniaga denda RM1 juta bersyarat syarat KPDN Kamalludin kedai runcit premis
Sepasukan pegawai dan anggota Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak melakukan pemeriksaan ekoran aduan awam berkenaan pembelian bersyarat ke atas minyak masak paket di sebuah kedai runcit di Alor Pongsu. Foto IHSAN KPDN PERAK

Menurut beliau, penguat kuasa KPDN Parit Buntar telah melaksanakan uji beli melalui Ops Samar di premis berkenaan dan mendapati aduan berkenaan berasas.

“Anggota penguat kuasa yang melakukan uji beli itu mendapati peniaga telah mengenakan syarat pembelian dengan membeli barangan lain terlebih dahulu untuk mendapatkan barang kawalan minyak masak paket 1 kg.

“Susulan itu, sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa beruniform kemudiannya telah masuk ke dalam premis dan telah melakukan pemeriksaan menyeluruh ke atas premis terbabit.

“Pemeriksaan di ruangan simpanan dan rak jualan mendapati sebanyak 164 kg minyak masak paket berada dalam simpanan premis,” katanya dalam satu kenyataan, pada Sabtu.

Menurut beliau, ekoran itu satu arahan pengisytiharan stok di bawah Seksyen 8 Akta Kawalan Bekalan 1961 telah diberikan kepada penyelia kedai runcit berkenaan.

Tambah Kamalludin, di samping itu pihaknya menyita kesemua minyak masak berkenaan dengan nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM410 bagi siasatan lanjut.

Minyak masak paket peniaga denda RM1 juta bersyarat syarat KPDN Kamalludin kedai runcit premis
Sejumlah minyak masak paket yang ditemukan Sepasukan pegawai dan anggota Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak ketika serbuan di sebuah kedai runcit di Alor Pongsu. Foto IHSAN KPDN PERAK

Ujar beliau, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan jika sabit kesalahan seseorang selain dari badan korporat boleh didenda sehingga RM1 juta atau penjara hingga tiga tahun atau kedua-duanya.

“KPDN tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam aktiviti atau sindiket penyalahgunaan barang-barang kawalan seperti minyak masak paket ini dan akan memastikan tindakan lebih tegas termasuklah pendakwaan di mahkamah.

“Masyarakat disarankan untuk menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa untuk menyalurkan maklumat berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi,” katanya. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Jual minyak masak bersyarat, KPDN ambil tindakan

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI