CYBERJAYA – Kutipan cukai langsung Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) yang mencecah RM203.991 merupakan kutipan kasar tertinggi julung kali melepasi angka RM200 bilion.
Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Fadillah Yusof berkata, kutipan itu menunjukkan peningkatan sebanyak 10.38 peratus berbanding tahun-tahun sebelumnya.
“Pada 2025, kutipan cukai langsung HASiL mencecah RM203.991 bilion, yakni julung kalinya kutipan cukai langsung negara melepasi paras RM200 bilion.
“Pencapaian ini adalah peningkatan sebanyak RM19.186 bilion atau 10.38% ketimbang tahun sebelumnya.
“Syabas Warga HASiL,” katanya berucap yang mewakilkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Sambutan Hari Hasil ke-30 di Wisma Hasil hari ini.
Turut hadir, Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Fadillah juga berkata, hasil daripada prestasi kutipan yang lebih kukuh, kerajaan dapat memperuntukkan tambahan dana bayaran balik cukai sebanyak RM11.4 bilion kepada pembayar cukai syarikat yang tertunggak.
“Ia sekali gus menyelesaikan komitmen lampau secara lebih tersusun dan telus. Sesungguhnya sistem percukaian yang baik bukan sekadar cekap mengutip tetapi juga adil dan saksama,” katanya.
Beliau tidak menafikan peningkatan jumlah kutipan cukai pendapatan itu hasil penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi.
“Ia meningkatkan kecekapan mengurangkan ketirisan dan memudahkan pematuhan. Perkhidmatan kepada rakyat dan perniagaan mesti terus dipermudah, dipercepat dan diperkemas.
“Bukan sekadar kutipan cukai lebih tinggi, tetapi sistem percukaian lebih adil, telus dan diyakini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette


