IPOH – Capaian liputan 5G di kawasan berpenduduk di negeri Perak kini telah mencapai 80.9 peratus sehingga September lalu.
Exco Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Perak, Mohd Azlan Helmi Helmi berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sentiasa memastikan pembangunan infrastruktur digital negeri dilaksanakan secara terancang dan progresif.
Katanya, pembangunan rangkaian ini dilaksanakan secara berperingkat melalui peluasan tapak pemancar di kawasan-kawasan strategik dan berimpak tinggi.
“Pembangunan rangkaian 5G juga diperkukuh melalui perancangan rangkaian 5G kedua oleh U Mobile Sdn. Bhd., yang kini sedang dalam pelaksanaan secara berfasa.
“Langkah ini dijangka meningkatkan kapasiti rangkaian, memberi lebih banyak pilihan kepada pengguna serta memperkukuh daya saing ekosistem digital negeri Perak.
“Kerajaan memberi keutamaan kepada peluasan liputan 5G di kawasan luar bandar sebagai sokongan kepada pembangunan ekonomi digital rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Berhanudin Ahmad (PN-Manong) pada Mesyuarat Ketiga, Tahun Ketiga Dewan Negeri Perak Yang ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini, pada Rabu.
Mohd Azlan berkata, walau bagaimanapun dalam usaha itu terdapat beberapa kekangan teknikal dan logistik yang perlu ditangani secara berperingkat.
Kata beliau, antara cabaran berkenaan termasuk bentuk muka bumi berbukit, kedudukan geografi yang tidak mempunyai ‘Line of Sight’ yang jelas, serta ketiadaan laluan ‘backhaul’ gentian optik di kawasan tertentu.
Tambah beliau, faktor lain seperti kepadatan penduduk yang rendah, ketiadaan infrastruktur asas dan bekalan elektrik yang tidak stabil turut memberi implikasi kepada tempoh pelaksanaan projek peluasan liputan 5G.
“Namun, peluasan rangkaian 5G akan terus dilaksanakan dengan mengambil kira kesediaan tapak, keperluan setempat serta keutamaan kawasan berimpak tinggi.
“Ia seperti zon perindustrian, institusi pendidikan, kawasan tumpuan awam dan pusat pertumbuhan ekonomi luar bandar.
“Pendekatan ini memastikan perbelanjaan awam dioptimumkan dan manfaat teknologi baharu dapat dinikmati secara inklusif,” jelasnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


