LUMUT – Kesemua 32,000 pemilik bot nelayan berdaftar diseru menggunakan sepenuhnya aplikasi MyIsytihar Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) pada tahun hadapan.
Pengerusi LKIM, Muhammad Faiz Fadzil berkata, ia ekoran aplikasi berkenaan merupakan satu kemudahan kepada nelayan untuk mengisytiharkan pendaratan ikan tanpa terikat dengan waktu operasi LKIM yang sedia ada dengan menggunakan telefon bimbit.
Menurut beliau, nelayan tidak mempunyai waktu kerja tetap hingga ada yang perlu keluar pada waktu malam sedangkan pengisytiharan diuruskan oleh pegawai LKIM mengikut tempoh kerja rasmi dan ia boleh menjejaskan operasi bekalan ikan.
“Aplikasi ini digunakan pemilik bot bagi memastikan pendaratan ikan dapat diisytiharkan dengan memuat naik resit dan proses ini berlangsung cepat sekali gus mengelakkan berlaku ketirisan terutama berkaitan penggunaan diesel bersubsidi.
“Setakat ini kita baru melengkapi 50 peratus penggunaannya dan sasaran agar semua nelayan menggunakan aplikasi ini sepenuhnya tahun depan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir ke Program Rahmah Mesra Madani Bersama Nelayan Negeri Perak di Dewan Serbaguna LKIM Negeri Perak di sini, pada Selasa.
Sementara itu, Pengarah LKIM Perak, N Sundralingam berkata, penggunaan aplikasi MyIsytihar LKIM di Perak akan mula dikuat kuasa secara berperingkat bermula 1 September ini.
“Di Perak, kita lihat kawasan utama tangkapan ikan mempunyai liputan internetnya bagus jadi penguatkuasaan terhadap penggunaan aplikasi ini boleh dilaksanakan.
“Penggunaan aplikasi ini di Perak telah mencapai 78 peratus dan bakinya kita akan kesan dan ajar mereka,” katanya.
Seramai 136 orang nelayan di negeri ini menerima bantuan di bawah Program Peningkatan Pendapatan Nelayan B40 – Insentif atau Bantuan Peralatan Penangkapan Ikan (Touch Point) berjumlah RM450,000.
Kesemua penerima merupakan nelayan di Kawasan Kerian, Manjung Utara, Manjung Selatan, Pulau Pangkor dan Hilir Perak yang menerima enjin sangkut, tong ikan
(fibre) dan jaket keselamatan.
Muhammad Faiz turut menyampaikan peruntukan Projek Khas Perumahan Nelayan (PKPN) bina baharu dan baikpulih sebanyak RM707,000 dan Skim Bantuan Bencana Alam dan
Kebajikan Nelayan kepada Pengurus Besar Persatuan Nelayan Negeri Perak
(PENGGERAK) bernilai RM60,450.
Menurut beliau, penyerahan kesemua bantuan tersebut bertujuan membantu meningkatkan pendapatan nelayan golongan B40 yang terlibat dalam aktiviti penangkapan ikan.
“Selain itu kita juga mahu meningkatkan taraf hidup dan kualiti hidup para nelayan disamping meningkatkan kecekapan serta kemahiran mereka ke arah peningkatan produktiviti sektor perikanan,” katanya. -MG Perak
Artikel Berkaitan:
Bekalan ikan Ramadan, Aidilfitri mencukupi, harga terkawal -LKIM