Bekalan ikan Ramadan, Aidilfitri mencukupi, harga terkawal -LKIM

BAGAN DATUK – Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), memberi jaminan bekalan ikan sepanjang Ramadan dan Aidilfitri kali ini mencukupi disamping harga terkawal.

Pengerusinya, Muhammad Faiz Fadzil berkata, ia ekoran berlaku lambakan ikan ketika ini selepas Monsun Timur Laut berakhir yang membolehkan nelayan turun ke laut.

Menurut beliau, LKIM juga turut bersedia dengan bekalan ikan segar beku yang dijual RM10 sebungkus bagi memastikan bekalannya sentiasa mencukupi sebelum dan semasa perayaan Aidilfitri.

“Kalau kita pergi ke pelabuhan besar contohnya di Kuantan, Pahang sampai berlaku lambakan, jadi rezeki nelayan tengah murah sekarang ini dan Insya-Allah bekalan ikan untuk Ramadan dan Aidilfitri memang terjamin.

“LKIM juga menyediakan stok simpanan ikan sejuk beku menerusi kaedah Q’Fish yang dijual dengan harga yang sangat berpatutan.

“LKIM sendiri ada 90 metrik tan dan kita berkolaborasi bersama syarikat swasta yang ada 1,500 metrik tan, jadi kekuatan ikan segar beku kita 1,590 metrik tan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Program MADANI Anak Nelayan Kembali ke Sekolah di Dewan Dato’ Mohammad Jamrah, Sungai Sumun, di sini, pada Sabtu.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil ketika ditemui media pada Program MADANI Anak Nelayan Kembali ke Sekolah di Dewan Dato’ Mohammad Jamrah, Sungai Sumun, Bagan Datuk. Foto ABDULLAH YUSOF, 16 MAC 2024.

Pada program berkenaan, beliau menyerahkan sumbangan peralatan sekolah berupa baucer untuk pakaian, kasut dan beg kepada 100 anak nelayan sekitar kawasan Hutan Melintang membabitkan nilai keseluruhan RM15,000 hasil kerjasama LKIM bersama BHPetrol dan Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT).

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hutan Melintang, S Wasanthee; Pengarah Bahagian Pembangunan Masyarakat dan Pertubuhan Nelayan, Norfajarwati Baharudin dan Ketua Pegawai Operasi BHPetrol, Fardzi Shah Razali.

Sementara itu, Muhammad Faiz turut mengingatkan peniaga agar tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga ikan sesuka hati pada musim perayaan.

Ujar beliau, peniaga sepatutnya menurunkan harga ikan ekoran berlakunya lambakan di pasaran dan bukannya membebankan orang ramai.

“Sepatutnya apabila bekalan ikan itu banyak, harga ikan murah. Jadi, saya tekankan kepada para peniaga supaya tidak sewenang-wenangnya menaikkan harga ikan.

“Kita juga mengharapkan pemantauan daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) supaya harga ikan terkawal dan stabil.

“Saya yakin komitmen dan agenda Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Pengerusi Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) yang sentiasa mahukan kesejahteraan rakyat di negara ini terpelihara,” katanya.

Beliau juga yakin kolaborasi kementerian-kementerian terlibat yang akan diperkukuhkan untuk menjamin bekalan makanan atau ikan yang cukup dapat memastikan harga terkawal. -MG Perak

Artikel Berkaitan:

Usahawan wanita LKIM juara ‘Badang Challenge’ sempena HPPNK

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI