Usahawan wanita LKIM juara ‘Badang Challenge’ sempena HPPNK

IPOH – Tuah ayam nampak dikaki, tuah manusia siapa yang tahu, begitulah perumpamaan buat seorang usahawan selepas dinobatkan sebagai pemenang kategori wanita pertandingan ‘Badang Challenge’ sempena Hari Peladang Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2023.

Tee Ghia Hoong, 35, berkata, dia yang secara kebetulan melalui pentas utama terlihat pertandingan yang menguji kekuatan peserta sebelum mengambil keputusan untuk menyertainya.

Usahawan dari Kuala Selangor yang bernaung di bawah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) itu pada asalnya hadir sebagai pempamer untuk HPPNK 2023.

“Sebenarnya saya ini merupakan usahawan dari LKIM Kuala Selangor yang datang untuk mempamerkan mesin kita.

“Kebetulan saya mendengar ada pengumuman mengenai pertandingan ‘Badang Challenge’ yang terbuka kepada 40 peserta termasuk wanita, jadi saya terus menyertainya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui MG Perak selepas selesai menyertai pertandingan berkenaan di Pentas Utama HPPNK di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya di sini pada Ahad.

Badang Challenge cabar kekuatan lelaki, wanita angkat beras
Tee Ghia Hoong, 35, menerima hadiah yang dimenanginya dalam ‘Badang Challenge’ daripada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu pada Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) Tahun 2023 di Bulatan Sultan Azlan Shah Meru Raya, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 12 NOVEMBER 2023.

Bagi pemenang kategori lelaki, Rostam Mat Rapandi, 43, berkata, pada mulanya dia sekadar mencuba nasib untuk menyertai pertandingan itu dan tidak meletakkan sebarang harapan.

“Pada asalanya saya hanya datang untuk melihat apa yang ada di HPPNK 2023 ini bersama keluarga dan tidak terlintas untuk menyertai sebarang pertandingan yang diadakan.

“Tetapi bila mendengar mereka membuka penyertaan untuk ‘Badang Challenge’ saya terus sertai dan tidak sangka boleh menjadi juara,” katanya.

Tambah bapa kepada lima cahaya mata itu, wang yang dimenanginya itu akan dibelanjakan bersama keluarga di HPPNK 2023.

Salah seorang pengunjung tidak melepaskan peluang menyertai ‘Badang Challenge’ sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) Tahun 2023 di Bulatan Sultan Azlan Shah Meru Raya, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 12 NOVEMBER 2023.

Terdahulu, seramai 40 peserta terdiri daripada lelaki dan wanita mencabar kekuatan masing-masing menerusi pertandingan itu yang diadakan sempena HPPNK 2023.

Pendaftaran peserta adalah percuma dan mereka yang mendaftar secara automatik akan menerima sepaket beras wangi dua kilogram (kg).

Peserta berusia 25 hingga 70 tahun berentap untuk merebut hadiah wang tunai berjumlah RM250, diikuti kedua, RM200 dan ketiga, RM150 bagi kategori lelaki manakala hadiah pertama bagi kategori wanita menerima wang tunai RM150, kedua, RM100 dan ketiga RM150.

Kesemua pemenang turut menerima sekampit beras 10 kg beserta hadiah sampingan.

Bagi kategori lelaki terdapat dua saringan membabitkan 30 peserta dengan saringan pertama, peserta perlu mengangkat beras seberat 30 kg manakala saringan kedua seberat 35 kg.

Manakala bagi kategori wanita mereka hanya perlu mengangkat beras seberat 20 kg dn kesemua pemenang ditentukan melalui catatan masa paling lama. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Tuna sirip kuning tarik minat pengunjung HPPNK

 

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI