Tuna sirip kuning tarik minat pengunjung HPPNK

IPOH – Ikan tuna sirip kuning atau yellowfin tuna seberat 50 kilogram (kg) yang dibawa khas daripada Wilayah Persekutuan Labuan, menjadi tarikan ruang pameran Kluster Perikanan sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangaan (HPPNK) 2023.

Malah pengunjung dilihat begitu teruja apabila diterangkan bahawa ikan tuna sirap kuning itu merupakan antara hidupan laut yang ada di perairan Malaysia.

Ini kerana tidak ramai yang mengetahui bahawa perairan yang lebih dalam di Sabah, Sarawak dan Labuan mempunyai ikan tuna sirip kuning.

Pegawai Perikanan Kanan, Jabatan Perikanan, Nor Azlin Mokhtar berkata, industri perikanan tuna di negara ini sedang berkembang dan membangun sebagai salah satu sumber kekayaan baharu negara.

Menurutnya, Kementerian Pertanian dan Sekuriti Makanan (KPKM), melalui Jabatan Perikanan amat komited dalam memajukan industri tuna di negara ini.

“Ramai tidak tahu bahawa selama ini perairan negara kita mempunyai ikan tuna sirip kuning yang boleh ditangkap di perairan lebih dalam di Sabah, Sarawak dan Labuan dengan menggunakan pukat jerut ataupun pancing tuna.

“Jadi bersempena HPPNK 2023 ini, Jabatan Perikanan membawakan ikan tuna sirip kuning atau yellowfin tuna seberat 50 kg yang ditangkap oleh nelayan daripada Wilayah Persekutuan Labuan di ruang pameran Kluster Perikanan untuk tatapan pengunjung,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas hadir pada aktiviti Demonstrasi dan Uji Rasa Loin Tuna Sirip Kuning.

Mengulas lanjut, Nor Azlin berkata, secara keseluruhan sebanyak 71,353 tan metrik tuna didaratkan dengan nilai RM636 juta pada tahun 2022.

Jelas beliau, daripada jumlah berkenaan sebanyak 54,903 tan metrik atau 77 peratus merupakan ikan tuna neritik, 3,202 tan metrik (4.5%) ikan tuna oseanik dan 13,247 tan metrik (18.5%) adalah ikan tuna-like spesies.

“Ikan tuna sirip kuning ini mempunyai khasiat dan manfaat kepada kesihatan kerana tinggi dengan protein, Omega-3 serta Vitamin B dan D.

“Kandungan protein yang tinggi membantu dalam pembentukan otot, meningkatkan metabolisme dan mengurangkan lemak selain Omega-3 yang baik untuk kesihatan jantung,” katanya. -MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI