KUALA LUMPUR – Tindakan pemandu lori muatan batu yang memasuki lorong arah bertentangan dikenal pasti sebagai punca utama kejadian kemalangan yang mengorbankan sembilan anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU).
Bagaimanapun, menurut laporan awal nahas itu yang dikeluarkan Kementerian Pengangkutan hari ini, siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti sebab sebenar pemandu lori berkenaan memasuki laluan bertentangan.
Sementara itu, laporan itu turut mendedahkan lori terbabit telah melanggar Seksyen 57(1)(b)(iii) Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 kerana membawa muatan selain yang dibenarkan.
Ia menurutnya, selepas lori itu didapati membawa muatan batu kerikil, walaupun jenis badan kenderaan adalah Lori Rigid – Coal (LDC) dan hanya dibenarkan membawa muatan arang batu.
Selain itu, katanya, lori tersebut juga tidak mematuhi Pelan Teknikal Kenderaan yang diluluskan mengikut Kaedah 9A Kaedah-Kaedah Kenderaan Bermotor (Pembinaan & Penggunaan) 1959.
“Rekod rasmi menunjukkan lori membawa muatan dengan Berat Dengan Muatan (BDM) sehingga 40,960 kg, iaitu 70.67 peratus melebihi had dibenarkan 24,000 kg, menyalahi Seksyen 57(1)(b)(vi) APAD 2010 dan Kaedah 89 Kaedah-Kenderaan Bermotor.
“Pengurusan tenaga kinetik kenderaan adalah kritikal dalam keselamatan jalan raya.
“Sebagai contoh, lori dengan BDM 24,000 kg pada kelajuan 30 km/j menghasilkan tenaga kinetik sekitar 833 kJ, manakala lori BDM 40,960 kg pada kelajuan sama menghasilkan 1,422 kJ — hampir dua kali ganda.
“Berat dan kelajuan yang lebih tinggi meningkatkan impak kemalangan dan risiko kecederaan serius,” demikian menurut laporan tersebut.
Sementara itu, tambah laporan tersebut, lori berkenaan juga didapati gagal dalam Laporan Pemeriksaan dan Audit Keselamatan (JISA), dengan skor hanya 15 peratus berbanding markah lulus 70 peratus, termasuk kegagalan dalam kesemua tujuh perkara mandatori.
“Siasatan turut mengenal pasti wujudnya kelompangan dalam aspek pengurusan keselamatan dan pengoperasian kenderaan Lori Tipper.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengenal pasti faktor-faktor penyumbang lain yang mungkin terlibat, termasuk faktor manusia, organisasi, kenderaan dan lain-lain yang berkaitan,” katanya.
Pada 13 Mei lalu, trak FRU membawa 18 anggota dari Unit 5 Sungai Senam terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori membawa batu kira-kira jam 8.50 pagi.
Lapan anggota maut di lokasi kejadian, manakala seorang lagi meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Teluk Intan. Sembilan lagi cedera.
Kenderaan FRU itu dilaporkan dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas selesai bertugas sempena sambutan perayaan Chitrapournami sebelum dilanggar lori terbabit. -MalaysiaGazette