Lucut hak milik kenderaan pesalah memandu di bawah pengaruh alkohol, dadah – Shahrim 

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa supaya meminda undang-undang bagi membolehkan pelucutan hak milik kenderaan terhadap pesalah yang ditahan kerana memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah (DUI).

Bekas Ahli Lembaga Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Shahrim Tamrin menegaskan, ia  susulan data yang dibentangkan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook di Dewan Rakyat apabila seramai 912 individu ditahan kerana DUI  sehingga 31 Mei lalu dengan 48 kemalangan maut direkodkan dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini.

Katanya, jumlah kematian akibat DUI bagi tempoh Januari hingga Mei 2026 telah menyamai keseluruhan kes maut yang direkodkan sepanjang 2023.

“Meskipun jumlah tangkapan DUI menunjukkan trend menurun daripada 3,299 kes pada 2023 kepada 2,468 kes pada 2024 dan 1,820 kes pada 2025, kadar kematian masih kekal tinggi, sekali gus memberi gambaran penguatkuasaan di lapangan perlu diperkukuhkan.

“Dari sudut kriminologi, kepastian pesalah ditangkap adalah lebih berkesan sebagai langkah pencegahan berbanding hanya meningkatkan kadar denda atau hukuman penjara.

“Justeru, kerajaan pihak berkuasa perlu mempertingkatkan operasi pemeriksaan alkohol dan dadah secara rawak serta memanfaatkan teknologi moden bagi memperkukuh penguatkuasaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shahrim turut mengulangi cadangan supaya Akta Pengangkutan Jalan 1987 dipinda bagi membolehkan rampasan dan pelucutan hak milik kenderaan secara mandatori terhadap pesalah DUI berulang, pemandu dengan bacaan alkohol yang terlalu tinggi, kes melibatkan penyalahgunaan dadah serta kes yang mengakibatkan kematian atau kecederaan parah.

Menurutnya, cadangan tersebut mengambil contoh peruntukan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 yang membolehkan lori komersial dilucut hak atas kesalahan tertentu, selain mencontohi amalan negara seperti Latvia, Belarus, Sweden, Kanada dan Australia yang menggabungkan hukuman lebih tegas dengan penggunaan teknologi seperti alcohol interlock.

Beliau turut mencadangkan supaya hasil lelongan kenderaan yang dilucut hak disalurkan ke dalam tabung pampasan mangsa DUI serta tabung keselamatan jalan raya bagi membiayai usaha penguatkuasaan dan kempen kesedaran.

“Sebanyak 912 individu yang ditahan dalam tempoh lima bulan ini adalah isyarat jelas.

“Kita tidak boleh terus bertindak secara bermusim, sebaliknya melaksanakan reformasi keselamatan jalan raya yang lebih menyeluruh demi melindungi nyawa rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI