BERMULA dengan hasrat mengusahakan pertanian di tanah terbiar selepas pandemik COVID-19 di kawasan berhampiran Sungai Klah, di Sungkai, Tanjung Malim, kini ia berubah menjadi destinasi rekreasi yang semakin mendapat perhatian ramai.
Sepanjang enam tahun beroperasi, Santuari Buyong Mas bukan sahaja berkembang sebagai tapak perkhemahan, malah ia turut menjadi pusat rekreasi yang menawarkan pelbagai aktiviti air di Sungai Klah dan Tisong seperti berkayak, memancing, berakit redah jeram, ‘water tubing’, dan sebagainya.
Pengurusnya, Muhammad Luqman Irfan Ahmad Nazri, 31, berkata, keputusan mengusahakan tapak perkhemahan itu lahir daripada pengalaman beliau dalam industri pelancongan sebelum ini yang menyaksikan sektor tersebut mengalami kemerosotan ketara.

“Sebelum ini saya berkecimpung dalam sektor pelancongan selepas terlibat dalam mengusahakan rumah inap desa atau ‘homestay’ di Pulau Pinang dan Kuala Kangsar.
“Apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berlaku, industri pelancongan terjejas teruk dan saya fikir sektor ini mungkin sudah tidak lagi berdaya maju, jadi saya beralih kepada bidang pertanian di kampung,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette (MG) Perak baru-baru ini.
Graduan Diploma Kejuruteraan Pembuatan dari Kolej Kemahiran Tinggi Mara, Kuantan, Pahang itu berkata, sebelum ini kawasan berkenaan pada awalnya berada dalam keadaan terbiar sebelum ia dibersihkan sedikit demi sedikit.
Menurut beliau, kawasan itu kemudian dimanfaatkan untuk pertanian berskala kecil dengan memanfaatkan tanah milik keluarga sedia ada seperti durian sebelum menyedari potensinya sebagai lokasi pelancongan berasaskan alam semula jadi.

“Apabila melihat ia berada berhampiran dengan sungai saya merasakan kawasan ini amat strategik untuk dibangunkan, tambahan jiwa saya terhadap sektor pelancongan itu masih ada.
“Oleh kerana modal ketika itu sangat terhad, saya kemudian memilih untuk memulakan perniagaan secara ringkas iaitu dengan membuka sebuah tapak perkhemahan di lokasi ini,” katanya.
Anak bongsu dari tiga beradik itu memberitahu, jangkaan awal bahawa aktiviti berkhemah hanya diminati segelintir masyarakat ternyata meleset apabila tapak perkhemahan yang diusahakan mendapat sambutan menggalakkan terutama selepas pandemik.

“Pada mulanya saya sangka aktiviti perkhemahan ini hanya menarik minat setengah-setengah orang, tetapi selepas PKP ramai yang sebelum ini tidak pernah berkhemah mula mencuba dengan aktiviti ini.
“Aktiviti perkhemahan kemudian seolah-olah menjadi trend dalam kalangan masyarakat dan daripada situ saya mula nampak akan potensi yang lebih besar.
“Saya kemudian mengambil keputusan memberi tumpuan kepada aktiviti rekreasi dan program berkumpulan sepenuhnya di sini,”ujarnya.
Tanah terbiar kini destinasi rekreasi pilihan
Muhammad Luqman Irfan berkata, Tapak Perkhemahan Santuari Buyong Mas yang diusahakan meliputi kawasan seluas 0.81 hektar daripada keseluruhan 3.24 hektar dengan mampu memuatkan sehingga 40 khemah pada satu-satu masa.
Selain turut menawarkan pakej lengkap kepada pelanggan yang tidak memiliki kelengkapan sendiri, tapak berkenaan turut dilengkapi dengan kemudahan seperti tandas dan surau terbuka untuk keselesaan pengunjung.

“Mereka hanya perlu datang dan memaklum kepada kami lebih awal kerana kami juga ada menyediakan khemah, kerusi, meja, tempat memasak dan tilam angin.
“Setiap tapak perkhemahan mempunyai palam elektrik untuk kemudahan pengunjung untuk memasak atau sebagainya.
“Bagi yang tidak mahu berkhemah pula, kami menyediakan chalet, pondok dan rumah inap supaya mereka masih dapat menikmati suasana alam semula jadi dengan lebih selesa,” katanya lagi.
Ujar Muhammad Luqman Irfan, tapak perkhemahan yang diusahakan mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada pengunjung termasuk ada dalam kalangan mereka yang datang berkali-kali.

Beliau berkata, lokasi itu turut menerima kunjungan pelancong luar negara termasuk dari Switzerland serta sekumpulan pengembara Australia yang menggunakan kenderaan rekreasi atau ‘motorhome’.
“Ada pengunjung memberitahu saya bahawa keadaan paras sungai yang selamat untuk aktiviti mandi-manda termasuk kanak-kanak antara salah satu faktor mereka kerap datang berulang-ulang.
“Kawasan yang luas serta kemudahan yang disediakan juga memenuhi keperluan pengunjung terutama mereka yang datang berkeluarga besar atau membawa anak-anak.
“Pengalaman seperti di sini menunjukkan bahawa kawasan luar bandar juga mempunyai tarikan tersendiri yang mampu menarik perhatian pelancong daripada dalam dan luar negara,” katanya lagi.
Tambah beliau, selain pengunjung yang mahu rehat minda, tapak perkhemahan berkenaan juga sering menjadi lokasi pilihan bagi program pembangunan berkumpulan melibatkan pihak sekolah, institusi pengajian tinggi dan agensi kerajaan.
Perintis pelancongan desa, pemangkin ekonomi setempat
Selain membangunkan produk pelancongan, Muhammad Luqman Irfan berkata, kewujudan Santuari Buyong Mas turut menjadi pemangkin kepada pertumbuhan beberapa lagi tapak perkhemahan di kawasan sekitar termasuk di Kampung Perlok Lama.
Beliau berkata, situasi sebelum ini berbeza apabila ketika memulakan operasi, kawasan tersebut masih belum mempunyai banyak pengusaha tapak perkhemahan.

Muhammad Luqman Irfan memberitahu, kini terdapat kira-kira lima lagi tapak perkhemahan lain beroperasi di kawasan berhampiran sekali gus mewujudkan ekosistem pelancongan desa yang semakin berkembang.
“Apabila pengusaha lain berminat, mereka datang berbincang dan bertukar-tukar idea dengan kami kerana saya percaya konsep berkongsi rezeki serta pengalaman akan memberi manfaat kepada semua,” katanya.
Selain itu kata beliau, kawasan rekreasi yang diusahakan juga berjaya mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat sebagai pengendali aktiviti rekreasi air, termasuk dalam kalangan masyarakat Orang Asli.

“Penduduk kampung dan Orang Asli yang bekerja di sini sebelum ini tidak mempunyai pengalaman, kemudian saya menghantar mereka mengikuti latihan sehingga berjaya memperoleh lesen serta sijil yang sah.
“Kini kesemua mereka yang terdiri daripada 15 orang berjaya menjadi operator yang berkelayakan dan mampu mengendalikan aktiviti dengan selamat. Selain itu kami juga dibantu tenaga tambahan dari pusat rekreasi lain di Gopeng dan Kuala Kubu Bharu, Selangor,” ujarnya.
Muhammad Luqman Irfan berkata, limpahan ekonomi hasil kehadiran pengunjung turut dinikmati penduduk setempat melalui penyediaan perkhidmatan katering.
Beliau berkata, bagi memastikan destinasi itu terus kekal relevan, beberapa perancangan baharu sedang disusun termasuk penambahan pondok sewaan dan fasiliti tambahan lain.

“Perancangan masa depan kami ialah membina lima unit ‘glamping’ atau khemah mewah, sebuah dewan terbuka, serta menambah lebih banyak pondok sewaan untuk keselesan pengunjung,” katanya.
Selain Jabatan Pertanian Perak, tapak perkhemahan Santuari Buyong Mas turut mendapat sokongan daripada Tourism Perak, Pejabat Daerah dan Tanah Batang Padang, Majlis Daerah Tapah serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Behrang, Salina Samsudin.
Perkembangan ini selari dengan fokus pelancongan di bawah Program Flagship Ke-10 iaitu Ekonomi Pengalaman menerusi Pelan Perak Sejahtera 2030, hasil cetusan idea Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


