IPOH – Seramai 161 usahawan asnaf dibantu Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) melalui program kursus keusahawanan Pemerkasaan Ekonomi Asnaf (PROPER A).
Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Syamsul Hazeman Md Salleh berkata, kesemua mereka merupakan peserta program berkenaan bagi tempoh tahun 2022 dan 2023.
Katanya, seramai 60 peserta telah dibantu melalui program keusahawanan berkenaan pada tahun 2022, sementara 101 peserta bagi tahun berikutnya.
“Untuk tahun ini, kita sudah ada 120 peserta di bawah program PROPER A yang mana ia juga bergantung kepada permohonan untuk menyertainya.
“Antara kursus yang ditawarkan termasuk refleksologi dan urutan, perbidanan, kulinari dan pastri, perbidanan, pembuatan pusara dan batu nisan, ternakan ayam kampung, serta kursus asas tanaman cendawan tiram,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui MG Perak selepas meraikan dan menyampaikan sijil tamat kursus peserta PROPER A bagi tahun 2022 dan 2023 di Hotel Casuarina@Meru, dekat sini, baru-baru ini.
Syamsul Hazeman berkata, sebanyak RM2 juta disalurkan MAIPk setiap tahun bagi penyediaan kursus berkenaan di bawah peruntukkan asnaf fakir dan miskin.
Mengulas lanjut beliau memberitahu, peruntukan itu merangkumi kos latihan, kursus berfasa, pembekalan peralatan, pemantauan dan pelaporan berkala setiap usahawan asnaf selama tempoh enam ke lapan bulan.
Selain itu beliau berkata, MAIPk juga membantu menyediakan beberapa kemudahan lain kepada usahawan asnaf yang telah menamatkan kursus termasuk ruang perniagaan di pasar raya Angsana Mall.
“Antara perkara yang diterapkan dalam kursus adalah termasuk pendedahan daripada segi pengurusan kewangan, perniagaan serta elemen menyuntik motivasi dan kerohanian.
“Kita mahu para peserta selepas tamat sahaja kursus, mereka bukan sahaja memiliki ilmu dan kemahiran sahaja, sebaliknya turut mampu menjadi Umat Islam yang terbaik,” katanya lagi.
Tambah Syamsul Hazeman, MAIPk sentiasa berusaha untuk menambah baik senarai kursus yang ditawarkan dalam inisiatif PROPER A.
Kata beliau, ia bagi memastikan setiap kursus yang dijalani usahawan asnaf itu kekal relevan dan mampu memenuhi keperluan pasaran.
“Kita mengharapkan agar usahawan asnaf ini kekal istiqamah dan sentiasa berusaha untuk keluar daripada kepompong kemiskinan demi mengubah nasib keluarga.
“Dan daripada itu, kami mengharapkan satu hari nanti mereka ini akan kembali untuk menjadi pembayar zakat yang mana ia akan menjadi satu kitaran lengkap dalam pembangunan ummah,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan: