MAIPk lahirkan lebih 400 usahawan menerusi Proper A

IPOH – Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), membelanjakan lebih RM5 juta dan berjaya melahirkan kira-kira 400 usahawan menerusi Program Pemerkasaan Ekonomi Asnaf (Proper A), yang mula diperkenalkan sejak tahun 2016.

Pengurus Besar Bahagian Agihan Zakat MAIPk, Rohizan Omar berkata, Proper A menyediakan latihan dalam bidang keusahawanan khusus untuk golongan asnaf bagi membantu mereka keluar daripada kepompong kemiskinan.

Menurutnya, sejak program itu dilaksanakan tujuh tahun lalu, ada dalam kalangan peserta yang sudah mula membayar zakat.

“Tujuan MAIPk mengadakan program ini adalah salah satu daripada agenda kita membantu asnaf yang berpotensi untuk kita keluarkan mereka daripada golongan fakir dan miskin.

“Ini merupakan salah satu agenda MAIPk  untuk meningkatkan ekonomi asnaf, sekali gus mengeluarkan mereka dari kepompong kemiskinan dengan mereka menjalankan perniagaan dan kemudian membayar zakat selari dengan matlamat akhir kita.

“Seramai 100 orang terlibat untuk latihan usahawan ini dengan peruntukan sebanyak RM1,050,000 untuk tahun ini. Dari segi bantuan modal, kita ada peruntukan RM2.5 juta. Jadi, mereka ini ada yang kita bantu dari sudut latihan dan dari segi modal,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran produk perkhidmatan Kursus Refleksologi dan Urutan di bawah Proper A serta majlis penyerahan peralatan bantuan perniagaan kepada 30 peserta di Hotel M Roof, di sini, pada Selasa.

MAIPk lahirkan lebih 400 usahawan menerusi Proper A
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan) MAIPk, Wan Maizura Wan Zahari (Tengah) bersama (kanan) dan Penyedia Latihan Syarikat Humaira Training Centre, Harisun Kassim
sewaktu pelancaran produk perkhidmatan Kursus Refleksologi dan Urutan di bawah Proper A dan majlis penyerahan peralatan bantuan perniagaan kepada 30 peserta di Hotel M Roof, di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan) MAIPk, Wan Maizura Wan Zahari dan Penyedia Latihan Syarikat Humaira Training Centre, Harisun Kassim.

Dalam perkembangan berkaitan, Rohizan berkata program yang dianjurkan MAIPk dan Syarikat Humaira Training Centre itu berlangsung selama enam bulan bermula Julai dan berakhir Disember ini.

Katanya, program itu melibatkan 30 peserta dan MAIPk memperuntukkan RM288,540 dengan setiap peserta akan diberikan RM9,000 meliputi pembiayaan kursus dan pembekalan barangan modal perniagaan serta elaun RM500 sebulan sepanjang tempoh enam bulan.

“Selain itu, program ini turut meliputi kursus lain iaitu tanaman cendawan tiram, kulinari dan pastri, perbidanan, penternakan ayam kampung serta kursus pembuatan pusara dan batu nisan.

“Ada enam kursus yang dilaksanakan pada tahun melibatkan lebih 100 orang peserta, untuk kursus ini sahaja 30 orang peserta manakala tanaman cendawan tiram (15), kulinari dan pastri (20), perbidanan (20), ternakan ayam kampung (15) dan pembuatan pusara dan batu nisan (6),” ujarnya – MG Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI