BUKIT GANTANG – Lazimnya turun ke laut untuk mencari rezeki, namun sekumpulan nelayan sanggup mengetepikan pekerjaan bagi menyertai perarakan bot berhias sempena Hari Malaysia tahun ini sebagai tanda kecintaan kepada negara.
Itu yang berlaku pada penganjuran kali kelima Pertandingan Bot Berhias Sempena Hari Malaysia 2026 Peringkat Parlimen Bukit Gantang yang dianjurkan Pejabat Ahli Parlimen Bukit gantang sempena program Rancakkan Agro Pelancongan Trong 2026.
Bagi salah seorang peserta, Anuar Saad, 46, pengorbanan yang dilakukan beliau selaku pengusaha kelong di perairan Trong serta rakan-rakan nelayannya itu bukan semata-mata mengejar kemenangan.
Katanya, ia dilakukan demi memastikan penyertaan mereka menjadi wadah menyemarakkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat setempat bersama ahli keluarga.
Menurutnya, pertandingan berkenaan turut memperlihatkan semangat kerjasama apabila persiapan bot dilakukan secara bersama dengan masing-masing menyumbangkan masa, tenaga dan wang ringgit.
“Bukan senang kita nak kumpulkan ahli yang ramai untuk buat satu program yang besar macam ini. Bila kita dapat berkumpul dengan semangat dan pakaian semua itu, kos juga terlibat.
“Tetapi demi semangat patriotik dan sayangnya kita kepada negara, kita sanggup berkorban masa dan wang ringgit. Nelayan tidak turun ke laut bukan hari ini sahaja, semalam dan dua tiga hari mereka tak pergi kerja sebab nak buat sampan ini.
“Bagi saya, semangat tahun ini memang lebih nampak. Mereka begitu bersemangat untuk bersama-sama menjayakan pertandingan,” katanya ketika ditemui pada pertandingan berkenaan di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Sungai Kerang, di sini, pada Rabu.
Anuar berkata, dia juga turut tidak ke kelong selama dua hari bagi menyiapkan bot berhias miliknya yang bertemakan hulu balang dan dayang-dayang yang diinspirasikan daripada drama yang sering ditontonnya.

Katanya, idea berkenaan datang daripada dirinya sendiri sebelum mendapat sokongan isteri dan anak-anak saudara bagi merealisasikan konsep tersebut.
“Ini kali ketiga saya serta pertandingan bot berhias anjuran Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal bermula 2022, 2024 dan tahun ini.
“Ini penyertaan saya kali ketiga. Kali pertama pada 2022 saya dapat tempat kedua. Kemudian pada 2024 saya masuk tetapi tidak dapat apa-apa dan tahun ini, menang atau tidak menang tidak kisah. Janji semangat itu ada,” katanya.
Sementara itu, pasangan suami isteri, Lim Chai Beng, 56, dan isterinya, Lim Siew Chin, 41, turut membawa dua anak mereka berusia tujuh dan 11 tahun menyertai kemeriahan acara berkenaan.

Siew Chin berkata, ini merupakan kali kedua mereka menyertai pertandinga berkenaan dan untuk tahun ini anak-anaknya sudah bersiap seawal 6.30 pagi bagi merasai kemeriahan berkenaan.
“Anak-anak sangat gembira. Mereka bantu bapa pasang bendera Perak di Bot sejak semalam dan kami tidak meletakkan sasaran untuk menang, hanya mahu seronok sahaja.
“Hari ini anak lelaki saya pakai baju melayu, saya pula pakai baju kurung dan kami sangat gembira,” katanya.
Pertandingan Bot Berhias Hari Malaysia 2026 berkenaan dianjurkan Pejabat Ahli Parlimen Bukit gantang sempena program Rancakkan Agro Pelancongan Trong 2026.
Dengan hadiah wang tunai sehingga RM5,000 bagi Kategori A dan RM3,000 bagi Kategori B, peserta turut diwajibkan menghiasi bot masing-masing dengan sekurang-kurangnya 10 bendera Malaysia dan Perak, sekali gus menyemarakkan suasana sambutan Hari Malaysia di perairan Trong. -MG Perak



