LUMUT – Pelaksanaan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) masih belum sesuai dilakukan pada masa ini memandangkan ekonomi rakyat masih belum pulih.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelaksanaan sistem percukaian itu dilihat akan memberi beban kepada masyarakat khususnya golongan miskin dan penganggur.
“Kita belum sedia GST ini. Kalau esok ekonomi kita dah meningkat, gaji minima semua RM4,000 ke atas, cukailah GST pun.
“Saya nak tanya, kalau 6 peratus semua kena bayar, mengapa orang miskin kena bayar? Mengapa orang menganggur pergi makan pun kena bayar?” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Negeri Perak di Lumut Waterfront, di sini pada Ahad.
Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Dalam pada itu, Anwar turut menyelar tindakan pembangkang yang sering memainkan isu GST sebagai modal politik.
“Kadang Ahli Parlimen pembangkang ni kena bagi kursus sikit… dia nak sedap saja kata GST bagus.
“Kamu fahamkah apa GST? Perkhidmatan cukai menyeluruh, you tax everybody,” katanya.
Justeru, beliau berkata, pada masa ini, kerajaan hanya mengenakan sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang lebih bersasar seperti barangan import mewah.
“Kita cukai avokado. Cod fish… mahal. Bukan macam ikan keli dengan ikan terubuk. Jadi kita cukai barang mahal itu. Orang kaya nak makan, silakan, tapi bayarlah lebih,” jelasnya.
Beliau menjelaskan bahawa cukai bukan untuk membebankan rakyat, tetapi sebagai sumber penting bagi membiayai keperluan asas dan pembangunan negara.
“Kalau tak cukai, nak ambil wang dari mana nak buat hospital di Manjung? Nak baiki jalan berlubang? Nak bina kapal, beli pesawat pertahanan negara? Semua itu guna duit cukai,” katanya.
Sementara itu, Perak adalah lokasi ketiga bagi penganjuran Program MADANI Rakyat tahun ini selepas Tawau dan Johor dengan rekod kehadiran hampir 150,000 pengunjung. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Malaysia sokong Iran pertahan hak, kecam tindakan biadab Israel – PM