Malaysia dipilih ahli ECOSOC bagi tempoh 2027–2029

KUALA LUMPUR – Malaysia berjaya dipilih sebagai ahli Majlis Ekonomi dan Sosial Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (ECOSOC) bagi tempoh 2027–2029, dalam pemilihan yang diadakan semasa Sesi ke-80 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) semalam.

Kementerian Luar Negeri memaklumkan, Malaysia memperolehi 184 undi daripada 186 negara anggota yang hadir mengundi, sekali gus meraih jumlah tertinggi secara keseluruhan.

Kementerian itu yang turut dikenali sebagai Wisma Putra berkata, pemilihan ke ECOSOC tersebut mencerminkan pengiktirafan keyakinan komuniti antarabangsa terhadap komitmen berterusan Malaysia terhadap multilateralisme, pembangunan mampan dan kerjasama antarabangsa.

“Sebagai ahli ECOSOC, Malaysia akan terus menyumbang kepada gerak kerja Majlis dengan memperjuangkan kepentingan negara-negara membangun dan bekerjasama secara konstruktif dengan semua pihak berkepentingan ke arah pencapaian pembangunan yang seimbang, inklusif dan mampan.

“Ini merangkumi usaha menangani cabaran global yang pelbagai seperti ketidaktentuan ekonomi, krisis kemanusiaan, ketidaksamaan, dan kesan buruk perubahan iklim, di samping mengutamakan pembasmian kemiskinan, pembiayaan pembangunan, reformasi sistem antarabangsa, keterjaminan makanan, pemerkasaan belia, pendidikan berkualiti, penjagaan kesihatan mampu milik dan kesejahteraan komuniti rentan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, Malaysia telah menjadi ahli ECOSOC selama tujuh penggal berasingan sebelum ini, iaitu 1971-1973; 1976-1978; 1983-1985; 1991-1993; 1995-1997; 2003-2005; dan 2008-2010.

Ujarnya, dalam landskap global yang mencabar hari ini, peranan ECOSOC menjadi lebih kritikal dalam mendokong inisiatif antarabangsa bagi memacu pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan memastikan keterangkuman semua pihak.

“Sebagai salah satu daripada enam organ utama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), ECOSOC berfungsi sebagai platform penting yang menyelaras semua inisiatif ekonomi, sosial dan bidang PBB berkaitan, termasuk yang digerakkan oleh agensi-agensi di bawah naungannya,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI