KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz didesak untuk mendedahkan secara terbuka terma sebenar exit clause dalam Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia-Amerika Syarikat (AS).
Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil berkata, sehingga kini, kerajaan masih gagal menunjukkan bukti atau dokumen jelas membuktikan wujudnya terma tersebut sebaliknya hanya memberi penjelasan umum tanpa perincian kukuh.
“Sampai hari ini, saya masih menunggu bila PMX Anwar dan Zafrul ingin tunjuk yang mana satukah terma-terma exit clauses yang mereka kata ‘ada’ dalam perjanjian perdagangan itu.
“Mereka tidak tunjuk secara spesifik namun hanya cakap-cakap benda itu kononnya ada ikut interpretasi mereka,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Anwar sebelum ini berkata, perjanjian tersebut mempunyai klausa yang membolehkan negara menamatkan atau menarik diri secara sah atau exit clause.
Menurut beliau, ia menjadi perkara yang ditekankan secara serius oleh Jemaah Menteri.
Isham turut mempertikaikan ketepatan interpretasi Tengku Zafrul terhadap satu perenggan dalam artikel 5.1 yang disifatkannya sebagai tidak tepat dan mengelirukan rakyat.
“Sebelum ini saya sudah kata bahawa interpretasi Zafrul berkenaan satu perenggan dalam artikel 5.1 adalah ke laut dan salah dan sampai hari ini dia tidak jawab telahan saya itu.
“Oleh itu, saya ingin tahu sama ada interpretasi dia berkenaan terma-terma lain yang dia kata exit clause itu pun adakah ke laut juga,” ujarnya.
Beliau mendakwa, kerajaan mungkin hanya menggunakan alasan kewujudan exit clause sebagai helah bagi menjustifikasikan perjanjian tersebut sedangkan pihak AS mungkin tidak mengiktirafnya sebagai klausa keluar.
“Mungkin exit clause ini adalah dalam fikiran mereka sahaja yang mereka guna sebagai alasan untuk serah tengkok, sedangkan pihak Amerika tidak nampak pun ia sebagai exit clause,” katanya lagi.
Sehubungan itu, Isham menegaskan, kerajaan perlu menunjukkan secara telus dan jelas kepada rakyat yang mana satu terma dalam perjanjian itu dikatakan exit clause supaya masyarakat boleh menilai sendiri sama ada tafsiran kerajaan betul, kabur atau langsung tidak tepat.
Dalam masa sama, beliau menggesa supaya kerajaan segera membatalkan perjanjian berkenaan jika benar artikel 7.5 yang merujuk kepada klausa termination memberi ruang untuk menarik diri dalam tempoh 180 hari bagi mengelakkan Malaysia terbeban dengan hutang besar dan hilang kedaulatan kepada kuasa besar asing.
Sebelum ini, di Dewan Rakyat, Anwar berkata, menerusi perjanjian tersebut, negara boleh menamatkan atau menarik diri secara sah sekali gus tidak terikat dengan negara Uncle Sam tersebut.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim menzahirkan kekesalan terhadap tindakan kerajaan yang menandatangani perjanjian berhubung Jual Beli (SPA) gas asli cecair (LNG) dengan Amerika Syarikat (AS) semasa Presiden negara itu hadir ke Sidang Kemuncak ASEAN.
Hassan menyifatkan langkah yang diambil oleh kerajaan seperti satu penggadaian negara kepada AS. – MalaysiaGazette


