LUMUT – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Perak menahan sebuah bot nelayan Indonesia bersama lima pendatang asing tanpa izin (PATI) yang dalam cubaan menyeludup ke negara ini, di perairan negeri ini pada Khamis.
Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohd Hambali Ya’akup berkata, mereka ditahan pada kedudukan sekitar 37 batu nautika barat daya Pulau Pangkor, sekitar jam 2.10 petang.
Katanya, bot itu dikesan ketika pihaknya sedang melakukan rondaan rutin Op Sayong/ Op Tanjung dan Op Tiris di perairan Perak.
“Bot kayu yang mencurigakan itu berwarna coklat berjalur biru kemudian dirapati untuk pemeriksaan, pasukan operasi kemudiannya mendapati terdapat empat lelaki dan seorang wanita termasuk tekong kesemuanya warga Indonesia.
“Kesemua mereka yang berusia antara 30 hingga 45 tahun berada dalam bot terbabit dan tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.
“Kesemua PATI termasuk bot ditahan dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki negara ini melalui pintu yang tidak diwartakan.
“Turut disiasat di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 kerana melakukan aktiviti penyeludupan migran,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Maritim Perak turut merampas sebuah bot kayu tanpa nombor pendaftaran berserta barang-barang di muara Bagan Sungai Tiang, kira-kira pada pagi hari yang sama.
Ujar Mohd Hambali, perkara itu susulan daripada aduan orang ramai yang memaklumkan terdapat sebuah bot disyaki membawa PATI ke negara jiran terdampar di lokasi berkenaan.
“Setelah berjaya dikesan, Maritim Malaysia merapat untuk pemeriksaan ke atas bot berkenaan dan mendapati kesemua suspek telah bertindak terjun meninggalkan bot itu serta barang-barang peribadi mereka lantas melarikan diri ke daratan.
“Pemeriksaan lanjut menemukan beberapa jenis beg baju dan barang-barang peribadi dipercayai milik PATI di geladak atas dan bawah bot,” tambah beliau.
Jelas beliau, kes disiasat di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 serta semua hasil rampasan dan bot diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.-MG Perak
Artikel Berkaitan:
[…] Maritim Perak gagalkan cubaan seludup PATI […]