Maritim tahan 14 warga asing dan tiga bot kelas c

LUMUT – Tiga bot nelayan tempatan kelas C bersama 14 warga asing ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Negeri Perak, pada petang Rabu.

Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohd Hambali Ya’akup berkata, ketiga-tiga bot bersama semua warga asing berkenaan di tahan di tiga lokasi berbeza di 9.0, 6.5 dan 6.6 batu nautika barat daya Sungai Tiang.

Menurut beliau, ketiga-tiga bot itu dikesan melalui radar ketika sedang leka melakukan aktiviti perikanan oleh KM Nyalau semasa rondaan rutin menerusi OP Sayong, OP Tanjung dan OP Tiris di perairan Perak.

“Hasil pemeriksaan mendapati, ketiga-tiga bot itu dikendalikan oleh dua tekong warga Myanmar dan seorang tekong warga tempatan bersama 12 kru warga Myanmar berumur dalam lingkungan 20 hingga 59 tahun.

“Pemeriksaan lanjut mendapati, kedua-dua tekong dan 12 kru warga Myanmar lain gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Tambah beliau, tekong warga tempatan juga didapati gagal mengemukakan dokumen kebenaran penggunaan kru warga asing daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia untuk beroperasi kurang dari 15 batu nautika dari daratan selain tiada surat kelulusan penggunaan peralatan komunikasi.

“Kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal di Malaysia tanpa dokumen pengenalan diri yang sah, Akta Perikanan 1985 kerana menggunakan kru warga asing tanpa kebenaran, beroperasi kurang daripada 15 batu nautika dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana tidak mempunyai kelulusan penggunaaan radar dan peranti.

“Kesemua nelayan ditahan, manakala bot dan hasil tangkapan berserta peralatan menangkap ikan dirampas sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut,” katanya.

Mohd Hambali berkata, Maritim Malaysia menegaskan agar komuniti maritim sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan bagi mengelakkan tindakan undang-undang diambil. -MG Perak

Artikel Berkaitan:

Maritim tahan lima nelayan Myanmar atas pelbagai kesalahan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI