Masakan tradisi Perak berasaskan tempoyak diangkat jadi tarikan gastronomi

SAJIAN berasaskan tempoyak bukan sekadar juadah biasa, sebaliknya melambangkan kekayaan warisan kulinari tradisional Perak.

Bagi memastikan masakan warisan ini tidak lenyap ditelan zaman, pemilik Teratak Tempoyak Nda, Nor Aifaa Azmee, 30, mengambil inisiatif mempelbagaikan menu berasaskan tempoyak untuk dinikmati peminat sajian tersebut.

Idea untuk membuka kedai makan berkonsep santai ini tercetus daripada nostalgia masakan ibu di rumah serta inspirasi arwah kakaknya yang mencadangkan supaya menu tempoyak diperkenalkan sebagai tarikan utama untuk kedai makan berkenaan.

Terletak di Gopeng, Perak, kedai ini diusahakan Nor Aifaa bersama suami serta ahli keluarganya yang lain sejak 10 tahun lalu.

Menurutnya, pembukaan kedai ini adalah salah satu usaha penting mereka sekeluarga dalam memperjuangkan kulinari tempatan yang kian dilupakan.

Makanan tradisi Perak berasaskan tempoyak diangkat jadi tarikan gastronomi
Proses memasak gulai tempoyak ikan di Teratak Tempoyak Nda, Gopeng. Foto ABDULLAH YUSOF.

“Keistimewaan Teratak Tempoyak Nda terletak pada keasliannya mengekalkan gaya masakan Perak. Kita menggunakan taugeh kasar dan timun yang memberi identiti unik kepada hidangan di sini.

“Hidangan yang paling mendapat sambutan pelanggan di sini adalah gulai tempoyak patin dan kembung. Selain itu, sambal petai juga menjadi padanan ideal kepada gulai tersebut,” katanya ketika ditemui Malaysia Gazette (MG) Perak, di Gopeng, baru-baru ini.

Guna 50 hingga 100 kilogram tempoyak

Menyentuh mengenai bekalan tempoyak, dia menjelaskan, stok untuk kedainya sentiasa mencukupi kerana telah diuruskan secara tetap dengan pembekal.

“Kita memang sudah tempah stok tempoyak daripada pembekal di Malim Nawar dan Gopeng. Dalam sebulan penggunaan tempoyak boleh cecah antara 50 hingga ke 100 kilogram.

Jaminan bekalan tempoyak ini membolehkan kita terus konsisten dalam penyediaan hidangan,” ujarnya.

Makanan tradisi Perak berasaskan tempoyak diangkat jadi tarikan gastronomi
Pemilik Teratak Tempoyak Nda, Gopeng, Nor Aifaa Azmee menunjukkan cara memasak gulai tempoyak ikan. Foto ABDULLAH YUSOF.

Dalam perkembangan sama, Nor Aifaa memberitahu, kedai tersebut bukan sahaja menarik perhatian penduduk tempatan tetapi juga pelancong dari dalam dan luar negara.

Ada yang datang dari Johor Bahru, Melaka, Kuala Lumpur malah pelancong China dan Filipina juga pernah menikmati hidangan ini.

“Kehadiran mereka secara tidak langsung membantu memperkenalkan masakan berasaskan tempoyak Perak ke persada dunia,” jelasnya.

Jika tak makan tempoyak, ada menu lain tersedia

Walaupun pada mulanya mereka hanya menghidangkan gulai tempoyak ikan patin sebagai menu utama, kini Teratak Tempoyak Nda menawarkan pelbagai pilihan masakan kepada pelanggan.

“Sebelum ini, bila pelanggan datang tak ada menu lain, jadi sekarang  kita turut menghidangkan menu lain seperti asam pedas ikan, gulai lemak cili api, sambal tumis petai dan masakan goreng kunyit atau tepung.

“Harga makanan pula mengikut fleksibiliti harga pasaran dengan set single bermula daripada RM10 hingga ke RM30. Ikut harga bahan mentah di pasar. Kita juga menyediakan set hidangan untuk dinikmati secara berkumpulan,” katanya.

Makanan tradisi Perak berasaskan tempoyak diangkat jadi tarikan gastronomi
Pemilik Teratak Tempoyak Nda, Gopeng, Nor Aifaa Azmee menunjukkan antara set makanan yang dijual bersama masakan tradisi Perak berasaskan tempoyak. Foto ABDULLAH YUSOF.

Cadang hasil pes tempoyak untuk jualan

Nor Aifaa turut menyimpan hasrat untuk memperluaskan perniagaannya merangkumi pembangunan fizikal dan jenama.

“Kita mestilah hendak mencantikkan kawasan ini dan kita juga sedang mengusahakan satu produk baharu iaitu pes tempoyak. Pelanggan boleh beli pes tersebut secara dalam talian pada masa akan datang.

“Pada masa sama, kita memang bercadang untuk membina rumah tradisi yang bakal memperkukuh identiti Teratak Tempoyak Nda sebagai ruang makan warisan,“ ujarnya.

Makanan tradisi Perak berasaskan tempoyak diangkat jadi tarikan gastronomi
Pemilik Teratak Tempoyak Nda, Gopeng, Nor Aifaa Azmee. Foto ABDULLAH YUSOF.

Bagi memudahkan pelanggan, dia memaklumkan, mereka turut aktif di pelbagai media sosial seperti TikTok, Instagram  dan Facebook bagi memudahkan pelanggan untuk singgah ke kedai makan tersebut.

“Orang ramai yang ingin merasai gulai tempoyak patin atau kembung, boleh datang ke sini, mungkin ia bolen menggamit memori resipi asli gulai tempoyak Perak yang sudah lama tidak jumpa,“ ujarnya.

Teratak Tempoyak Nda bukan sekadar kedai makan tetapi ia melambangkan kesungguhan keluarga terbabit dalam memperkenalkan dan mengekalkan keaslian masakan berasaskan tempoyak.

Tidak mustahil jika pada satu hari kedai makan ini menjadi destinasi gastronomi ikonik di Perak bagi menarik pelancong tempatan dan antarabangsa. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Ikut jejak ayah, dorong dua beradik teroka ladang sayur

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI