Masalah liputan internet dalam Terowong Menora selesai

IPOH – Isu gangguan liputan internet di dalam Terowong Menora Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) di kedua-dua arah hampir setahun lalu akibat kerosakan peranti penguat isyarat (repeater) kini selesai.

Exco Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Perak, Mohd Azlan Helmi Helmi berkata, masalah itu berjaya diselesaikan susulan syarikat pengurusan menara telekomunikasi yang baharu menggantikan peranti penguat isyarat tersebut.

Menurutnya, peranti penguat isyarat jenama baharu yang berteknologi tinggi itu dipasang di pintu masuk terowong di kedua-dua arah.

“Dalam tahun lalu, beberapa sesi perbincangan telah diadakan bersama pemilik menara telekomunikasi dan mereka telah menggantikan repeater-repeater yang rosak di terowong ini.

“Cuma ada sedikit kekangan untuk menggantikan peralatan tersebut (repeater) kerana tidak boleh ditebuk terowong takut struktur terowong tersebut berbahaya, jadi ia dipasang di pintu masuk terowong.

“Alhamdulillah, hari ini kita turun untuk melihat isyarat ketersambungan (internet) dalam Terowong Menora dan kawasan sekitarnya telah pulih. Semua talian syarikat telekomunikasi seperti Maxis, U Mobile dan sebagainya telah ada liputan dalam Terowong Menora,” katanya.

Masalah liputan internet dalam Terowong Menora selesai
Exco Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Perak, Mohd Azlan Helmi Helmi ketika sesi taklimat mengenai inisiatif penambahbaikan liputan telekomunikasi dan kemajuan kerja di Terowong Menora-Meru Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), Ipoh, pada Jumaat. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 13 DISEMBER 2024.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau inisiatif penambahbaikan liputan telekomunikasi dan kemajuan kerja di Terowong Menora (arah utara) Lebuhraya PLUS pada Khamis.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Azlan berkata, kerajaan negeri juga turut mengambil langkah bagi mengatasi masalah titik buta (blind spot) komunikasi di beberapa lokasi di sepanjang lebuh raya di negeri ini.

Katanya, kerajaan negeri juga dalam usaha meningkatkan kualiti liputan talian telekomunikasi di sepanjang lebuh raya PLUS di Perak.

Tambahnya, antara titik buta yang dikenal pasti adalah di kawasan selepas Terowong Menora dan Gua Tempurung.

“Jadi untuk Gua Tempurung penyedia perkhidmatan bersetuju untuk memasang satu menara di sana.

“Kita akan membuat permohonan kepada Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan kerajaan negeri akan membuat tindakan susulan serta meminta mereka mempercepatkan proses tersebut,” ujarnya.

Sebelum ini, terdapat rungutan daripada orang ramai berhubung masalah liputan talian telekomunikasi yang kurang baik apabila memasuki terowong berkenaan.– MG Perak

Artikel Berkaitan:

690,000 premis kediaman, perniagaan terima akses internet di Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI