690,000 premis kediaman, perniagaan terima akses internet di Perak

IPOH – Semua 83 ibusawat Telekom Malaysia (TM) di Perak telah dinaik taraf bagi menyediakan perkhidmatan internet jalur lebar tetap Unifi sehingga bulan November tahun ini.

Exco Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Mohd Azlan Helmi Helmi berkata, kerja naik taraf itu melibatkan penyediaan lebih 480,000 port rangkaian jalur lebar bagi membolehkan liputan perkhidmatan internet diberi akses kepada 690,000 premis kediaman dan perniagaan di sekitar negeri ini.

Menurutnya, bagi kawasan-kawasan yang masih belum mempunyai perkhidmatan tetapi mempunyai permintaan yang munasabah, pihak TM akan melihat potensi dan kesesuaian penyediaan perkhidmatan.

“Kita akan melihatnya melalui kajian pelaburan di kawasan tersebut dalam usaha meluaskan lagi rangkaian jalur lebar Unifi di seluruh negeri ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Liputan 5G di Perak capai 71.9 peratus

Perak tambah baik jaringan telekomunikasi di hutan lipur terpilih

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan Enakmen Perbekalan tahun 2024 dan Usul Kumpulan Wang Pembangunan 2024 dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, pada Rabu.

Dalam pada itu, Mohd Azlan berkata, bagi meningkatkan capaian internet di Perak, Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) serta Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) dengan bantuan kerajaan negeri telah melaksanakan pelbagai inisiatif seperti Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).

“Pelaksanaan pelan ini telah merangka pelbagai inisiatif seperti pembinaan menara telekomunikasi baharu, penaiktarafan sistem pemancar komunikasi, menghubungkan lebih banyak premis menerusi talian gentian optik, penyediaan liputan 5G serta pembinaan Pusat Ekonomi Digital (PEDi) yang menyediakan liputan internet secara kolektif dijangka akan siap secara berperingkat menjelang penghujung tahun 2025,” katanya.

Ujar beliau, penambahbaikan liputan jalur lebar mudah alih dan sambungan gentian optik ke premis melalui pembinaan 206 struktur telekomunikasi baru di Perak juga hampir 50 peratus siap.

“Selain itu, 2,500 stesen pemancar turut dinaik taraf kepada kepada teknologi 4G/LTE dengan menyediakan sambungan gentian optiik melibatkan 331,533 premis manakala 55,225 premis lagi dilaksanakan,” ujarnya.

Mohd Azlan berkata, pelaksanaan Point of Presence (PoP) melalui KKD bagi penyediaan hab infrastruktur gentian optik luar bandar di kawasan berhampiran sekolah dan kawasan perindustrian turut dilaksanakan di negeri ini.

“Fasa pertama telah selesai dilaksanakan di 55 lokasi kontraktor yang telah dilantik manakala fasa kedua sedang dalam peringkat pelaksanaan meliputi 510 lokasi.

“Satu taklimat telah dilaksanakan oleh kontraktor yang dilantik kepada semua agensi teknikal di Perak pada 27 November lalu dan Digital Perak turut diberi tanggungjawab bagi memantau status pelaksanaan sebelum melaporkan secara berkala kepada kerajaan negeri,” jelasnya. – MG Perak

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI