Perak berjaya tingkatkan keluasan HSK kepada 988,700 hektar

IPOH – Kerajaan Negeri Perak berjaya meningkatkan keluasan kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) di negeri ini kepada 988,700.88 hektar sehingga November tahun ini.

Exco Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Teh Kok Lim berkata, jumlah ini meningkat sebanyak 2,680.11 hektar berbanding tahun sebelumnya.

Menurutnya, keluasan HSK ini adalah 96.4 peratus daripada keluasan kawasan berhutan di Perak dan menjadikan negeri ini sebagai negeri yang mempunyai peratus keluasan HSK yang tertinggi di Semenanjung Malaysia iaitu sebanyak 47 peratus.

“Antara inisiatif lain yang telah dilaksanakan kerajaan negeri adalah dengan merealisasikan agenda Program Penghijauan Malaysia melalui Kempen Penanaman 10 Juta Pokok di negeri ini.

“Sejumlah 6.9 juta pokok dengan keluasan 16,260 hektar  berjaya ditanam di seluruh negeri setakat November tahun ini.

“Kejayaan ini dicapai hasil pelaksanaan pelbagai program penanaman pokok termasuk program Communication, Education, Participating and Awareness (CEPA) oleh Jabatan Perhutanan Negeri Perak bersama pihak berkuasa tempatan (PBT), agensi-agensi kerajaan, badan-badan berkanun, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), petubuhan bukan kerajaan (NGO), pelajar dan orang awam,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan Enakmen Perbekalan tahun 2024 dan Usul  Kumpulan Wang Pembangunan 2024 dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, pada Rabu.

Sementara itu, menyentuh isu konflik manusia-haiwan, Kok Lim berkata, pelbagai kaedah digunakan dalam mengatasi konflik tersebut.

Katanya, penganjuran sesi dialog oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di setiap kawasan bersama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) dengan ketua kampung atau wakil penduduk bagi menjelaskan peranan, tanggungjawab dan sumbangan penduduk untuk bersama-sama dalam mengurangkan isu konflik berkenaan.

“Kerjasama dari agensi luar yang bertanggungjawab terhadap haiwan ternakan seperti lembu, kambing atau kerbau untuk memainkan peranan dalam memberi khidmat nasihat penternak supaya mengurungkan ternakan dan memasang pagar yang baik dan efektif di kebun atau kendang.

“Pelaksanaan itu untuk membantu menangani konflik gangguan hidupan liar terutamanya serangan ternakan oleh hidupan liar seperti harimau belang dan harimau kumbang,” jelasnya.

Selain itu, ADUN Aulong itu turut memaklumkan bahawa majlis atau persatuan penduduk perlu mengambil tindakan sesuai bagi pengurusan tanah terbiar supaya tidak menjadi semak samun yang menjadi tempat persembunyian atau habitat hidupan liar khususnya babi hutan dan kera. – MG Perak.

Artikel Berkaitan:

690,000 premis kediaman, perniagaan terima akses internet di Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI