KEUPAYAAN kepada sistem pendidikan untuk bergerak seiring dengan perubahan teknologi dan kehendak industri masa kini dilihat menjadi antara penentu utama kepada masa depan pembangunan sesebuah negeri.
Dalam landskap ekonomi yang semakin dipacu pendigitalan, kecerdasan buatan (AI) dan kemahiran baharu, inovasi dalam pendidikan tidak lagi boleh dianggap sebagai pilihan, sebaliknya menjadi keperluan untuk memastikan generasi muda mampu bersaing serta menyesuaikan diri dengan perubahan semasa.
Hakikatnya, cabaran pendidikan pada hari ini bukan lagi sekadar memastikan pelajar memperoleh keputusan akademik yang baik, tetapi bagaimana sistem pendidikan mampu melahirkan modal insan yang berfikiran kritis, kreatif dan mempunyai keupayaan menyesuaikan diri dengan perubahan dunia pekerjaan yang semakin kompleks.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kreativiti dan inovasi dalam pendidikan bukan sekadar menghasilkan idea baharu, tetapi perlu mampu menyelesaikan masalah sebenar yang berlaku di lapangan.
Menurut beliau, pendekatan itu penting bagi memastikan penyelidikan pendidikan tidak hanya terhenti dalam bentuk laporan atau kajian akademik semata-mata, sebaliknya diterjemahkan kepada penyelesaian yang memberi manfaat kepada masyarakat.
“Bagaimana pembelajaran boleh menjadi lebih berkesan? Bagaimana guru dan pensyarah boleh dibantu dengan kaedah pengajaran yang lebih sesuai?
“Bagaimana pula pelajar daripada pelbagai latar belakang dapat diberi peluang yang adil untuk berjaya? Persoalan-persoalan inilah yang perlu dijawab melalui penyelidikan yang baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Penyelidikan dan Inovasi Pendidikan Peringkat Antarabangsa (InERIC) 2026 di Dewan Saidina Abu Bakar, Institut Tadbiran Islam Perak, di Ipoh, baru-baru ini.
Pandangan itu sudah semestinya dilihat bertepatan dengan keperluan semasa apabila banyak institusi pendidikan ketika ini berdepan cabaran untuk memastikan kaedah pembelajaran kekal relevan dengan perkembangan teknologi dan kehendak industri.

Dunia pendidikan perlu bergerak pantas
Saarani berkata, perubahan dunia pendidikan berlaku terlalu pantas dengan kemunculan AI, pembelajaran digital, ‘micro-credential’, pembelajaran hibrid dan kaedah pembelajaran berasaskan pengalaman yang kini menjadi sebahagian daripada landskap pendidikan global.
Namun kata beliau, kemajuan teknologi tidak boleh dipisahkan daripada nilai kemanusiaan, etika dan kebijaksanaan pendidik dalam membentuk sahsiah pelajar.
Justeru Saarani berkata, pendekatan inovasi dalam dunia pendidikan perlu difahami secara lebih luas dan tidak terhad kepada penggunaan teknologi semata-mata.

“AI boleh membantu menyesuaikan pembelajaran mengikut keperluan pelajar, mempercepat analisis data dan menyokong pentadbiran pendidikan. Tetapi guru, pensyarah dan pendidik tetap menjadi nadi yang membentuk akal budi, sahsiah dan kemanusiaan pelajar.
“Perlu difahami bahawa inovasi juga bermaksud keberanian memperbaiki pendekatan, kesediaan menilai semula kaedah lama, kemampuan memahami keperluan pelajar serta kebijaksanaan menghubungkan ilmu dengan kehidupan sebenar,” ujarnya.
Selari hasrat pembangunan ekonomi negeri
Dalam masa sama, Saarani berkata, agenda pendidikan dan penyelidikan mempunyai hubungan langsung dengan Pelan Perak Sejahtera 2030 yang digagaskan beliau dengan memberi penekanan kepada pembangunan ekonomi berasaskan ilmu, teknologi dan kemahiran.
Beliau berkata, institusi pendidikan tidak boleh bergerak secara terpisah daripada keperluan industri dan pembangunan negeri kerana Perak kini sedang memasuki fasa pembangunan ekonomi baharu menerusi beberapa projek berimpak tinggi.

Antara projek berimpak tinggi yang sedang dibangunkan di Perak termasuk, Lembah Automotif Berteknologi Tinggi (AHTV) di Tanjung Malim; Taman Perindustrian Bersepadu Hijau Kerian (KIGIP) serta Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC).
Saarani berkata, Perak memiliki kekuatan menerusi jaringan institusi pendidikan tinggi, politeknik, kolej komuniti, institusi latihan kemahiran dan pusat penyelidikan yang boleh digerakkan secara lebih strategik.
Oleh itu beliau berkata, penyelarasan antara institusi pendidikan dan industri dilihat penting bagi mengurangkan jurang kemahiran yang sering menjadi cabaran utama dalam pasaran pekerjaan semasa.

“Kekuatan ini perlu disatukan supaya hasil penyelidikan benar-benar diterjemahkan kepada dasar, program, latihan dan penyelesaian yang memberi kesan kepada masyarakat.
“Kolaborasi antara institusi pendidikan, agensi kerajaan, industri dan komuniti perlu terus diperkukuh kerana dunia pendidikan dan dunia industri saling memerlukan antara satu sama lain.
“Pendidikan menyediakan asas ilmu, kemahiran dan nilai, manakala industri memberi pendedahan sebenar terhadap keperluan pasaran serta ruang untuk ilmu itu diterjemahkan dalam kehidupan dan pekerjaan,” ujarnya.

Secara keseluruhannya, penekanan terhadap inovasi pendidikan, penyelidikan dan pembangunan modal insan yang diberikan tumpuan oleh Kerajaan Negeri Perak memperlihatkan usaha membina ekosistem pendidikan yang lebih responsif terhadap perubahan semasa serta keperluan masa depan.
Dalam era persaingan global, pendidikan tidak lagi boleh bergerak secara konvensional, sebaliknya ia perlu sentiasa berkembang selari dengan kemajuan teknologi, tuntutan industri dan realiti masyarakat.
Sekiranya inovasi dalam pendidikan berjaya diterjemahkan kepada dasar negeri serta tindakan yang berkesan, Perak bukan sahaja berpotensi melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi, malah mampu muncul sebagai negeri yang memimpin pembangunan modal insan masa depan negara. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Kerajaan akan terus tumpu perkasa ekosistem sains, teknologi dan inovasi – PM


