Sesuatu yang selama ini dianggap sebagai penghujung kepada kitaran penggunaan sebenarnya boleh menjadi permulaan kepada sumber tenaga baharu.
Itu perubahan yang diterjemah menerusi pengoperasian Loji Tenaga Boleh Diperbaharui Biogas berkapasiti 2 Megawatt (MW) di Tapak Pelupusan Sanitari Lahat Ipoh, apabila gas yang terhasil daripada pereputan sisa pepejal dimanfaatkan untuk menjana tenaga elektrik.
Projek yang dirasmikan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad pada 28 September lalu itu bukan sekadar menambah satu lagi kemudahan tenaga boleh diperbaharui di negeri ini, sebaliknya memperlihatkan bagaimana pengurusan sisa boleh bergerak daripada pendekatan konvensional kepada model yang menghasilkan nilai ekonomi dan alam sekitar.
Lebih penting, loji berkenaan menunjukkan bahawa tapak pelupusan tidak semestinya berakhir sebagai lokasi menyimpan sisa, sebaliknya boleh menjadi sebahagian daripada ekosistem tenaga bandar apabila teknologi digunakan untuk menangkap dan memanfaatkan gas tapak pelupusan.
Loji itu yang dibangunkan menerusi Projek Pembangunan Loji Tenaga Boleh Baharu Berkapasiti 2MW Berasaskan Biogas di Tapak Pelupusan Sanitari Sisa Pepejal Papan Ulu Johan, Mukim Belanja, Ipoh, telah mencapai Feed-in Tariff Commercial Date (FITCD) pada 19 Mei 2025, sekali gus menandakan permulaan operasi komersial penjanaan tenaga elektrik berasaskan biogas.
Secara asasnya, sisa pepejal yang dilupuskan akan melalui proses pereputan dan menghasilkan gas tapak pelupusan yang mengandungi metana dan jika jika tidak diurus dengan baik, metana yang dilepaskan ke atmosfera boleh menyumbang kepada pelepasan gas rumah hijau.
Namun, menerusi teknologi yang sesuai, gas tersebut boleh dikumpulkan dan digunakan sebagai bahan api untuk menjana tenaga elektrik.
Di sinilah nilai strategik projek 2MW berkenaan dapat dilihat kerana ia bukan hanya menyelesaikan sebahagian persoalan berkaitan pengurusan gas tapak pelupusan, malah menukar sisa kepada sumber tenaga yang boleh dimanfaatkan.
Pendekatan ini selari dengan konsep ekonomi kitaran yang melihat sisa bukan semata-mata sebagai bahan yang perlu dibuang, tetapi sebagai sumber yang masih mempunyai nilai dan boleh dimanfaatkan semula dalam rantaian ekonomi.

Dalam konteks sebuah bandar yang sedang berkembang seperti Ipoh, pendekatan sedemikian menjadi semakin penting kerana pertumbuhan penduduk, aktiviti ekonomi dan pembangunan bandar secara langsung meningkatkan keperluan terhadap sistem pengurusan sisa yang lebih cekap.
Maka, persoalannya bukan lagi sekadar bagaimana untuk melupuskan sisa, tetapi bagaimana sebahagian daripada sisa yang dihasilkan itu boleh diurus dengan lebih baik sehingga menghasilkan manfaat baharu kepada bandar dan masyarakat.
Lahat sebagai makmal bandar rendah karbon
Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dalam satu kenyataan berkata, Loji Tenaga Boleh Diperbaharui Biogas berkapasiti 2 Megawatt (MW) di Tapak Pelupusan Sanitari Lahat juga boleh dilihat dalam konteks lebih besar sebagai usaha membangunkan Ipoh sebagai sebuah bandar raya rendah karbon.
Katanya, ini kerana agenda bandar rendah karbon tidak hanya berkaitan pengangkutan awam, penggunaan tenaga solar atau penghijauan bandar, tetapi turut melibatkan bagaimana bandar mengurus sumber, sisa dan tenaga secara lebih bersepadu.
Dalam hal ini, Tapak Pelupusan Sanitari Lahat mempunyai peranan yang berbeza daripada sekadar menjadi lokasi pelupusan, tapak berkenaan berpotensi menjadi salah satu komponen dalam rantaian tenaga hijau bandar.
Ia memperlihatkan pendekatan yang lebih menyeluruh apabila masalah sisa, keperluan tenaga dan usaha mengurangkan pelepasan karbon cuba ditangani menerusi satu sistem yang saling berkait.
Pendekatan berkenaan juga mempunyai kaitan dengan Pelan Tindakan Ipoh Doughnut Economics: A City Portrait in Action 2025–2030, khususnya Tema Projek Demonstrator 2: Planetary Health – Integrated Waste Management Strategy.
Konsep Ekonomi Donat pada asasnya cuba mencari keseimbangan antara keperluan manusia dengan batas ekologi, iaitu pembangunan ekonomi dan kesejahteraan masyarakat perlu bergerak tanpa melampaui kemampuan alam sekitar untuk menampung tekanan tersebut.
Dalam konteks projek biogas Lahat, prinsip itu diterjemahkan secara praktikal apabila sisa yang terhasil daripada aktiviti manusia tidak hanya dilihat sebagai beban alam sekitar, sebaliknya diurus untuk menghasilkan tenaga dan nilai ekonomi.
Cabaran selepas loji beroperasi
Bagaimanapun, nilai sebenar projek ini tidak seharusnya diukur hanya berdasarkan kapasiti 2MW atau kejayaan pelancaran loji ini kerana terdapat persoalan yang lebih penting iaitu sejauh mana model tersebut mampu dikekalkan dan diperluaskan pada masa hadapan.
Ini termasuk aspek keberkesanan pengumpulan gas, kecekapan penjanaan tenaga, penyelenggaraan loji, kesinambungan bekalan bahan mentah serta keupayaan memastikan tapak pelupusan terus diurus mengikut piawaian alam sekitar.

Pada masa sama, kejayaan projek juga boleh membuka ruang untuk mengenal pasti tapak pelupusan lain yang mempunyai potensi sama tertakluk kepada kesesuaian teknikal, jumlah sisa, penghasilan gas dan daya maju ekonomi.
Jika pendekatan ini dapat diperluaskan pengurusan sisa di negeri ini berpotensi berkembang daripada sekadar perkhidmatan asas kepada satu sektor yang mempunyai nilai ekonomi dan peluang pelaburan baharu.
Kerjasama antara Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Teraju Sepadu Sdn. Bhd. serta pihak berkepentingan lain melalui Perjanjian Kerjasama Program Kelestarian Alam Sekitar dan Sumbangan Komuniti juga memberikan dimensi tambahan kepada projek berkenaan.
Ini kerana agenda kelestarian tidak seharusnya terhenti pada pembangunan infrastruktur, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada kesedaran masyarakat, pendidikan alam sekitar dan manfaat kepada komuniti setempat.
Daripada projek bandar kepada agenda negeri
Dalam skala lebih besar, projek biogas Lahat boleh dilihat sebagai satu contoh bagaimana agenda pembangunan negeri boleh diterjemahkan melalui projek yang menyentuh secara langsung aspek ekonomi, alam sekitar dan kesejahteraan masyarakat.
Perak kini berdepan keperluan untuk mengimbangi pertumbuhan ekonomi dengan pemeliharaan sumber alam, khususnya ketika pelaburan, pembangunan industri dan urbanisasi terus berkembang.

Dalam keadaan itu, projek tenaga boleh diperbaharui berasaskan sisa mempunyai kelebihan tersendiri kerana ia menghubungkan dua keperluan serentak – mengurus kesan pembangunan dan pada masa sama mencari sumber nilai baharu daripada sumber yang tersedia.
Ia juga memberikan gambaran bahawa agenda hijau tidak semestinya hanya bergantung kepada projek berskala besar, sebaliknya boleh bermula daripada bagaimana sesuatu bandar mengurus perkara asas seperti sisa pepejal.
Pada akhirnya, projek Loji Biogas 2MW Lahat perlu dilihat bukan hanya sebagai sebuah projek tenaga, tetapi sebagai sebahagian daripada perjalanan Perak membentuk model pembangunan yang lebih seimbang.
Hal ini bertepatan dengan aspirasi Pelan Perak Sejahtera 2030 yang memberi penekanan kepada pembangunan negeri secara menyeluruh dengan kesejahteraan rakyat, pertumbuhan ekonomi dan kelestarian sebagai komponen yang saling berkait.
Dalam kerangka itu, pengurusan sisa yang lebih cekap, penghasilan tenaga boleh diperbaharui dan pengurangan pelepasan karbon bukan lagi isu alam sekitar yang berdiri sendiri. -MG Perak


