IPOH – Sebanyak 1,662 kenderaan telah diperiksa oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dengan 206 daripadanya dikenakan tindakan kerana dikesan melakukan pelbagai kesalahan lalu lintas bagi tempoh dua hari pertama Operasi Khas Hari Raya Aidiladha 2026 (Ops HRAA).
Pengarah JPJ Perak, Mohammad Yusoff Abustan berkata, tindakan diambil atas pelbagai kesalahan yang melibatkan kenderaan persendirian, motosikal, kenderaan barangan, kenderaan perkhidmatan awam serta bas.
Menurutnya, sebanyak 510 Notis P22 telah dikeluarkan, manakala ujian saringan air kencing terhadap 53 pemandu didapati negatif.
Tambah beliau, kesalahan yang direkodkan termasuk tiada lesen kenderaan motor (139 kes), tiada insurans (119 kes), tiada lesen memandu (103 kes), kesalahan teknikal (27 kes) dan lain-lain kesalahan (86 kes).
“Dalam tempoh sama kita turut mengesan dua kesalahan melibatkan bas ekspres menerusi operasi penyamaran, apabila pemandu didapati menggunakan lorong kanan secara berterusan.

“Kejadian itu berlaku bagi perjalanan dari Ipoh ke Kuala Lumpur dan dari Ipoh ke Butteworth,” katanya pada sidang media di Terminal Bas Aman Jaya di sini, malam tadi.
Beliau berkata, operasi khas yang berlangsung dari 24 hingga 31 Mei itu memberi tumpuan kepada sembilan kesalahan utama yang sering dikaitkan dengan kemalangan jalan raya, antaranya memandu melebihi had laju, melanggar lampu isyarat merah, memotong di garisan berkembar dan menggunakan telefon bimbit ketika memandu.
“Sebagai langkah persediaan bagi pengangkutan awam, beliau berkata, JPJ turut menjalankan pemeriksaan bas di depoh bermula 24 hingga 26 Mei bagi memastikan kenderaan berada dalam keadaan selamat sebelum membawa penumpang,” ujarnya.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Mohammad Yusoff berkata, sebanyak 23,287 kenderaan perdagangan telah diperiksa dengan 2,923 tindakan penguatkuasaan diambil termasuk penyitaan 44 kenderaan menerusi Ops Khas Kenderaan Perdagangan 2026 bagi tempoh Januari hingga Mei.
Katanya, tindakan notis yang dikeluarkan sepanjang ops tersebut melibatkan Notis P22 sebanyak 6,600 kes, Notis Seksyen 63(3) 499 kes dan Notis Seksyen 64(1) 41 kes.
“Kesalahan paling banyak dikesan sepanjang operasi berkenaan melibatkan tiada lesen vokasional (999 kes), tiada Lesen Kenderaan Perdagangan (CDL) (772 kes) dan kesalahan lebih muatan (677 kes),” ujarnya.

Mohammad Yusoff berkata, bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini, sebanyak 60 kenderaan mewah turut disita dalam Ops Kenderaan Mewah melibatkan kesalahan seperti cukai jalan tamat tempoh, tiada insurans dan memandu tanpa lesen yang sah.
“Antara kereta mewah yang disita termasuk Toyota Vellfire, Toyota Alphard dan Porsche Cayenne. Tindakan notis yang dikeluarkan sepanjang operasi khas itu adalah Notis P22 (119 kes) dan Notis Seksyen 64(1) (60 kes),” jelasnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
JPJ Perak keluarkan 5,136 notis sepanjang Ops Khas Tahun Baharu Cina


