Perak tambah baik jaringan telekomunikasi di hutan lipur terpilih

KAMPAR – Kerajaan Perak telah mengenal pasti lokasi hutan lipur di beberapa kawasan pelancongan di negeri ini untuk kerja-kerja penambahbaikan jaringan telekomunikasi sempena Tahun Melawat Perak 2024.

Exco Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Negeri Perak, Mohd Azlan Helmi Helmi berkata, kawasan itu dikenal pasti melalui satu jawatankuasa yang dibentuk untuk melaksanakan perkara tersebut.

Menurutnya, jawatankuasa berkenaan terdiri daripada Pejabat Exco Komunikasi, Multimedia dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Negeri Perak, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Tourism Perak, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan beberapa agensi berkaitan.

“Kita telah memaklumkan Exco Pelancongan mengenai usaha tersebut, selain memperoleh data hutan lipur di kawasan pelancongan daripada Tourism Perak, namun saya juga meminta Pegawai SKMM untuk meneliti terlebih dahulu keadaan jaringan liputan di kawasan terlibat.

“Selain itu, kita sudah kenal pasti satu atau dua syarikat yang boleh menawarkan perkhidmatan tersebut. Malah, ada juga syarikat yang menawarkan tanggungjawab sosial korporat (CSR) terutamanya di kawasan hutan lipur.

“Ini kerana di kawasan hutan lipur kita tidak boleh membina struktur menara telekomunisasi dan ia memerlukan mekanisme lain untuk menyampaikan jaringan liputan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas melancarkan Karnival Digital Negeri Perak 2023 di Terminal Kampar Putra Sentral, di sini pada Selasa.

Dalam pada itu, Mohd Azlan berkata, beliau meramalkan projek perintis ini dijangka akan bermula sebelum akhir tahun ini.

“Insya-Allah jikalau kita berjaya, kita boleh perluaskan lagi (projek ini) dalam Perak dan kita akan mengembleng usaha yang kita ada terutamanya di pihak SKMM.

“Ia selari sebagai persediaan menyediakan perkhidmatan yang baik menjelang Tahun Melawat Perak 2024,” jelasnya. –  MG Perak

Artikel Berkaitan:

Perak kenal pasti 215 menara telekomunikasi haram 

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI