CAMERON HIGHLANDS – Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Aedy Fadly Ramli mendedahkan masih ramai penduduk tempatan di sini membenarkan warga asing memandu kenderaan milik mereka tanpa lesen.
Katanya tindakan berkenaan bukan sahaja mengundang risiko kepada warga asing yang memandu kenderaan tanpa lesen sebaliknya juga pengguna jalan raya yang lain.
“Bila kita buat operasi kita dapati masih ramai pemandu warga asing yang memandu kenderaan milik rakyat Malaysia tanpa ada lesen memandu yang sah.
“Bagaimanapun kita sentiasa laksanakan operasi untuk memberi peringatan kepada pemilik kenderaan rakyat tempatan supaya tidak membenarkan warga asing yang tidak memiliki lesen sah membawa kenderaan.
“Jalan raya di Cameron Highlands agak berisiko dan kita tidak mahu perkara tidak diingini berlaku kerana bukan warga asing sahaja malah pemilik kenderaan tidak dapat tuntutan kemalangan.
“Kalau ingin benarkan warga asing memandu kenderaan anda pastikan mereka memiliki lesen yang diiktiraf kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Sidang Media Operasi Khas Pemandu Warga Asing (PeWA) dan Pelanjutan Pengurangan LKM Kepada Pemilik Kenderaan Industri Pertanian Di Cameron Highlands di JPJ Cawangan Cameron Highlands, di sini, pada Khamis
Ditanya sama ada cadangan menarik pengurangan fi LKM bagi kenderaan di Cameron Highlands jika dadapati membenarkan warga asing memandu kenderaan tanpa lesen, Aedy Fadly berkata, ia akan dipertimbangkan.
“Buat masa ini tindakan yang diambil kita akan saman pemilik kenderaan dan juga pemandu kerana ini merupakan prosedur biasa.
“Kita belum ada sebarang keputusan berkaitan cadangan itu cuma kita akan teliti dan sekiranya ada keperluan mana-mana pemilik kenderaan membenarkan warga asing memandu kenderaan kita akan ambil tindakan,” katanya.
Sementara itu, Aedy Fadly memaklumkan sebanyak 138 notis membabitkan pelbagai kesalahan dikeluarkan kepada warga tempatan dan warga asing pada Operasi PeWa.
Beliau berkata operasi oleh JPJ dengan Kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) itu dilaksanakan pada Rabu dan Khamis di sekitar Cameron Highlands.
“Dalam operasi ini, sebanyak 204 kenderaan telah diperiksa yang mana 31 kenderaan termasuk tiga motosikal, kereta (1), pikap (11), lori (13), jentolak (1) dan dua van.
“Selain itu, 138 notis pelbagai kesalahan antaranya tiada Lesen Memandu Kompeten (CDL), tiada lesen vokasional dan salah guna Lesen Kenderaan Motor (LKM) dikeluarkan kepada 75 pemandu termasuk 46 warga asing serta 63 pemilik,” katanya. -MG Perak
Artikel Berkaitan: